Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal: Luaskan usaha agar pembelajaran Melayu kekal relevan

Sentiasa memperkukuh dan meluaskan usaha secara kreatif, bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kekal relevan dan diminati para pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:
02:36 Min
Beliau menggesa pastikan pembelajaran bahasa Melayu kekal relevan.

SINGAPURA: Sentiasa memperkukuh dan meluaskan usaha secara kreatif, bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kekal relevan dan diminati para pelajar.

Demikian gesaan Setiausaha Parlimen Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap kepada para guru di Seminar Bahasa Melayu siang tadi (15 Mac).

Sejajar dengan tema tahun ini, iaitu 'Menjana Inovasi, Memarak Inspirasi', beliau turut menekankan penggunaan kaedah pengajaran yang menepati keperluan pelajar masa kini.

Seminar kali ini menghimpunkan 520 orang, termasuk para guru dari sekolah-sekolah tempatan.

Setiap tahun para peserta berkumpul untuk bertukar-tukar pandangan tentang kandungan, kaedah serta amalan terbaik dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang berkesan.

Turut memberikan pandangannya, Dr Faishal, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), berkongsi tiga saranan bagi membina kecekapan para guru dalam mengajar bahasa ibunda itu.

"Yang pertama, seiring dengan gerakan SkillsFuture atau Kemahiran Masa Hadapan, adalah penting bagi guru untuk terus mempertingkatkan keupayaan, pengetahuan dan kemahiran mereka dari segi kandungan kurikulum, pedagogi, penilaian dan penggunaan Teknologi Infokom (ICT) demi memastikan pembelajaran pelajar yang berkesan berlaku di bilik darjah setiap hari.

"Cara kedua, ialah dengan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh daripada pelbagai program pembangunan profesional untuk menilai sama ada kaedah pengajaran yang digunakan sekarang berkesan atau sebaliknya," katanya.

Akhir sekali, Dr Faishal menggesa para guru supaya sentiasa berkongsi pengetahuan dan kepakaran menerusi pelbagai wadah.

"Dengan menghayati dan mengamalkan budaya pembelajaran secara kolaboratif sebegini, diharapkan kita mampu membina komuniti guru bahasa Melayu yang sentiasa memandang ke hadapan, dan tidak jemu membuat percubaan demi percubaan dalam menjana inovasi dan memarak inspirasi pelajar-pelajar kita di sekolah dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu," ujarnya.

Di seminar siang tadi, tiga buku terbitan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) turut dilancarkan.

Kertas ucaptama berkenaan Kajian dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Membaca pula disampaikan penceramah dari seberang Tambak, Profesor Madya Dr Dahlia Janan, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa