Dr Faishal ke Jepun belajar selok-belok mobiliti aktif; AMAP pertimbang insurans liabiliti diri
Basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) semakin menjadi pengangkutan pilihan bagi para penduduk di merata dunia.
Profesor Madya Faishal Ibrahim bersama para anggota AMAP di Kyoto, Jepun. (Gambar-Gambar: Dr Faishal Ibrahim/Facebook)
SINGAPURA: Basikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) semakin menjadi pengangkutan pilihan bagi para penduduk di merata dunia.
Di Jepun dan Korea, PMD merupakan satu kaedah baru untuk para penduduk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Dengan penggunaan PMD menjadi sebahagian daripada kehidupan harian para penduduk, ia sekaligus mendorong pihak pentadbiran di banyak negara dunia untuk membuat pertimbangan mengenai insurans liabiliti diri.
Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkongsi demikian menerusi catatan di laman Facebooknya pada Rabu (31 Jul) selepas melakukan lawatan ke Jepun bersama para anggota AMAP.
"Kami mempelajari banyak daripada rakan-rakan kami, termasuk bagaimana pihak pentadbiran juga memberi respons kepada cara kehidupan baru ini," katanya.
Dr Faishal, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata insurans liabiliti diri kini diwajibkan di wilayah-wilayah seperti Kyoto dan Hyogo.
Malah, ia mungkin diperluaskan ke wilayah-wilayah lain di Jepun. Korea Selatan juga sedang menimbangkan untuk mengambil langkah yang sama.
Bagaimana pula dengan Singapura?
Insurans liabiliti diri, menurut Dr Faishal, adalah salah satu bidang yang akan dikaji dan dipertimbangkan oleh AMAP. Beliau berkata para anggota akan menilai sama ada ia adalah satu langkah yang wajar dilaksanakan di Singapura, bukan sahaja bagi perniagaan-perniagaan tetapi juga bagi para pengguna.
Menurut Dr Faishal, peraturan dan syarat-syarat biasanya tidak disambut baik, namun ia perlu dikuatkuasakan sambil merujuk kepada peraturan keselamatan kebakaran UL2272 yang diumumkan pada tahun lalu.
"Menjadi negara yang pertama di dunia untuk menguatkuasakan peraturan itu bagi e-skuter merupakan satu langkah yang besar bagi pihak kami.
"Pada awalnya, langkah itu menerima sambutan negatif kerana ia menjejas ramai. Namun setelah menyaksikan peningkatan pada jumlah kebakaran yang disebabkan oleh alat-alat bukan UL2272 dan kecederaan yang berlaku baru-baru ini, adalah wajar untuk menguatkuasakan langkah tersebut," kata Dr Faishal.
Semasa lawatannya itu, AMAP juga menyentuh mengenai penubuhan panel tersebut selain usaha-usaha perbincangan awam yang sedang dijalankan.
AMAP juga mengongsi bagaimana ia terus menyemak peraturan-peraturan serta kod tatalaku bagi memastikan mobiliti aktif dapat dinikmati ramai, tambah Dr Faishal.
"Jepun dan Korea juga mengongsi bahawa Singapura dilihat sebagai 'trendsetter' dan peneraju dalam aspek ini," katanya lagi.
Dengan mengambil iktibar daripada pengalaman dan tip-tip yang dikongsi oleh Jepun dan Korea Selatan, Dr Faishal berkata jawatankuasa AMAP bakal membentangkan kumpulan ketiga saranan-saranannya kepada Pemerintah tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.