Dr Faishal jadi Pemangku Menteri bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan pelantikan Dr Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Dr Faishal, 56 tahun akan mengambil alih daripada Encik Masagos Zulkifli yang sudah menggalas tanggungjawab itu selama sekitar 7 tahun sejak 1 Mei 2018.
Dalam sidang media bagi mengumumkan barisan kabinet menteri yang baharu pada Rabu (21 Mei), PM Wong mengatakan sudah tiba masanya bagi peralihan kepimpinan bagi masyarakat Melayu/Islam.
"Ia adalah masanya untuk memperbaharui kepimpinan bagi masyarakat Melayu/Islam dan bolehkan pemegang jawatan politik yang baharu dan lebih muda untuk bekerja dengan masyarakat untuk realisasikan impian kita bersama. Jadi itu sebabnya mengapa kami lakukan perubahan ini dan dalam perbincangan dengan rakan-rakan kerja dan Encik Masagos sendiri, kami bersetuju yang Profesor Madya Faishal adalah calon terbaik untuk mengambil alih sebagai Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam," kata PM Wong.
Beliau juga akan bekerjasama dengan para pemegang jawatan politik Melayu/Islam lain untuk terus mendekati masyarakat.
"Mendampingi masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan saya dalam penggal yang lalu dan saya akan terus lakukan demikian," ujar PM Wong.
Dr Faishal akan disokong oleh pemegang jawatan politik Melayu lain termasuk Encik Zaqy Mohamad yang akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi MENDAKI daripada Encik Masagos.
Encik Zaqy sudah menggalas peranan selaku Timbalan Pengerusi badan itu sejak 2018.
Ini juga satu kelainan daripada biasa kerana lazimnya, Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang akan memimpin MENDAKI seperti Encik Masagos Zulkifli, Dr Yaacob Ibrahim dan Encik Abdullah Tarmugi sebelum ini.
Encik Masagos masih lagi dalam kabinet dan meneruskan peranannya sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
MEMPERLUAS DAN MENDALAMI HUBUNGAN DENGAN MASYARAKAT
Sebagai Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal berkata beliau akan cuba pendekatan untuk memperluas dan mendalami hubungan dengan masyarakat Melayu/Islam bagi memahami lebih baik lagi aspirasi dan keprihatinan mereka.

"Salah satu aspek yang saya mahu menerapkan adalah bagaimana kita boleh mendekati dan mendengar masyarakat dengan lebih luas, dengan lebih mendalam kerana saya mempunyai peluang di Kementerian Ehwal dalam Negeri di mana saya bekerjasama dengan pihak-pihak kepentingan dan juga masyarakat kita untuk menolong, menyokong perpaduan kita dan juga ahli keluarga mereka dan saya rasa dengan pendekatan yang lebih dalam dan luas," kata Dr Faishal.
"Kita dapat sama-sama bukan sahaja melihatnya sebagai sebagai satu isu tetapi meraikan satu kejayaan walaupun ia adalah satu aspek yang mungkin mencabar tetapi apabila kita bersama, kita boleh melihat isu ini bukan isu yang mudah tapi jikalau kita bersatu hati, kita bekerjasama kita boleh mendapatkan ataupun mencapai kebaikan kepada masyarakat," tambahnya lagi.
Beliau juga mengatakan akan meneruskan usaha-usaha baik yang diterajui Encik Masagos sebelum ini seperti M³, Wakaf Masyarakat Singapura dan Kolej Pengajian Islam Singapura.
Sebelum ini, Dr Faishal banyak menerajui pelbagai usaha bagi memperkasa masyarakat menerusi projek FITRAH dan Bersamamu.
Bagi aspek budaya dan warisan pula, beliau menyandang jawatan selaku Penasihat Utama bagi Wisma Geylang Serai dan Perikatan Kampong Gelam.
Selain jawatan baharu ini, Dr Faishal juga dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri.
Sebelum ini, beliau merupakan Menteri Negara di kementerian itu dan Pembangunan Negara.
ZHULKARNAIN, DR SYED HARUN ANTARA YANG BARU DILANTIK
PM Wong juga mengumumkan pelantikan beberapa muka baharu dalam kabinet dan bagi memegang jawatan politik.
Ini termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim yang akan menyandang jawatan selaku Menteri Negara bagi Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga bermula 1 Februari 2026.
Buat masa ini, beliau masih lagi merupakan peguam di firma guaman Dentons Rodyk.
Dr Syed Harun yang baru menyertai politik dalam GE2025 pula dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pembangunan Negara merangkap Pendidikan.
Beliau akan mula menggalas peranan itu pada 1 Oktober 2025.
Dr Syed Harun antara 9 muka baharu daripada GE2025 yang menyertai barisan kabinet dan pemegang jawatan politik baharu.
Encik Zaqy Mohamad pula kekal sebagai Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan memegang jawatan baharu di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran.
Sementara itu, Cik Rahayu Mahzam akan terus menyandang jawatan selaku Menteri Negara bagi Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital.
Beliau baru memegang portfolio itu dalam barisan kabinet yang diumumkan pada Mei lalu.
Upacara angkat sumpah bagi jawatan Menteri Kabinet, Menteri Negara Kanan dan Menteri Negara akan berlangsung pada 23 Mei 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.