Dr Faishal Ibrahim disambut mesra pelajar Singapura di Mesir, hargai sumbangan PERKEMAS bantu keluarga pelarian Palestin
Pertemuannya dengan para pelajar merupakan antara atur cara lawatan kerja Dr Faishal ke Kaherah, Mesir dari 31 Oktober hingga 2 November 2025.
Ini merupakan lawatan kerja pertamanya ke Mesir sejak menyandang jawatan selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pada Mei lalu.
Menulis di Facebook, Dr Faishal menzahirkan rasa terharunya atas sambutan para pelajar PERKEMAS serta bersyukur dapat "menikmati malam yang penuh makna, dipenuhi dengan perbualan mesra serta hidangan briyani dan satay, disediakan dengan penuh kasih oleh para pelajar."
Beliau menyifatkan asas yang dibina Allahyarham Shaik Syed Isa Semait yang menjadi Pengerusi pertama PERKEMAS kian kukuh termasuk perkembangan Maktabah PERKEMAS, iaitu rumah persatuan para pelajar Singapura di Nasr City yang digunakan sebagai tempat berhimpun untuk menimba ilmu dan menjalankan pelbagai kegiatan.
Dr Faishal turut memuji inisiatif kemanusiaan PERKEMAS yang membantu pelarian Palestin di Mesir.
Pada September lalu, PERKEMAS telah menyalurkan bantuan kepada sekitar 90 keluarga Palestin yang berlindung di Kaherah.
Beliau menyifatkan usaha itu sebagai satu tindakan yang sangat murni dan membanggakan.
“Saya amat berbangga dengan usaha ini. Mereka benar-benar mengharumkan nama Singapura di pentas dunia,” kata beliau.
Beliau menggalakkan para pelajar agar terus berusaha memberi sumbangan bermakna berlandaskan rasa syukur, amanah dan keikhlasan.
"Asatizah dan graduan pengajian Islam kita memainkan peranan sangat penting dalam membentuk landskap keagamaan di Singapura, di mana mereka boleh membimbing masyarakat dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan dalam dunia yang semakin moden, majmuk dan sentiasa berubah-ubah." tulis Dr Faishal.
Lawatan tiga hari Dr Faishal ke Mesir bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala Singapura dengan Mesir dalam pendidikan Islam, peluang biasiswa dan pembangunan pelajar serta meningkatkan perkongsian untuk pembangunan pelajar dan asatizah.
Sepanjang lawatan, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Ahmed Al-Tayyeb; Presiden Universiti Al-Azhar Al-Sharif, Dr Salama Dawood; dan Mufti Besar Mesir, Dr Nazir Mohamed Ayyad, yang juga merupakan anggota Panel Penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.