Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal harap WGS terus jadi lambang dan kebanggaan masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal harap WGS terus jadi lambang dan kebanggaan masyarakat Melayu

Acara sempena ulang tahun WGS yang kelima pada 27 Jan 2024. (Gambar: Nur Arina Md Anis)

SINGAPURA: WGS telah menjadi nadi masyarakat baik dari segi sosial, seni, budaya, sukan dan kecergasan untuk semua lapisan masyarakat.

"Semenjak ia dibangunkan kita dapat melihat peningkatan dari segi pelbagai aspek bagaimana ia dibangunkan, bagaimana ia dapatkan sokongan daripada masyarakat tahun demi tahun walaupun kita menghadapi cabaran pada masa COVID-19, tapi ia terus dapat dibangunkan balik dari segi pendekatan, dari segi bagaimana ia masuk dalam ke hati masyarakat kita," kata Penasihat Utama, Wisma Geylang Serai, Dr Muhammad Faishal Ibrahim kepada wartawan Syawal Yusoff.

Dr Faishal melahirkan rasa sukacita beliau dengan pencapaian WGS setakat ini.

Jumlah pengunjung dan peserta yang meningkat saban tahun patut dibanggakan.

Pada tahun lalu, WGS berjaya menarik 6.1 juta pengunjung dan peserta, yang tertinggi setakat ini.

Ia berkat pelbagai program dan aktiviti yang telah disusun dengan teliti untuk menepati citarasa dan keperluan segmen yang berbeza-beza.

"Pada tahun lalu, lebih daripada 6 juta orang mengambil bahagian atau melawat program-program yang kita ada. Ini paling tertinggi sekali kerana kita juga mendapatkan bilangan yang tertinggi mereka yang melawat bazar Raya, 5.56 juta," kata Dr Faishal.
BERJAYA TARIK PENGUNJUNG BERBILANG KAUM DAN MASYARAKAT

Meskipun terjejas dengan pandemik COVID-19, Dr Faishal berbesar hati kerana masyarakat masih menyokong kegiatan-kegiatan yang dianjurkan.

Selain program untuk masyarakat Melayu, WGS juga berjaya menarik pengunjung berbilang kaum.

"Ramai di kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari bangsa-bangsa lain kenal WGS, dapat mengambil bahagian dan menikmati program-program yang kita adakan. Dan ini adalah satu aspek yang kita mahu bangunkan.

"Dengan adanya program-program seperti ini, WGS telah menjadi satu jenama dalam masyarakat kita. Jadi bukan sahaja daripada masyarakat Melayu, tapi masyarakat lain juga," ujar Dr Faishal yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri.
ANJUR KEGIATAN YANG PELBAGAI

Program-program yang diadakan tidak terhad kepada yang bercorak kebudayaan sahaja.

WGS giat bekerjasama dengan pelbagai agensi pemerintah dan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) untuk menjalankan pelbagai acara termasuk karnival latihan dan pekerjaan serta kesihatan.

"Kita boleh memberikan ruang inklusif kepada MMO untuk tampil ke hadapan, mendekati masyarakat dan juga melihat bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan kita untuk menggunakan rangkaian yang kita ada. Jadi sama-sama kita berkongsi rangkaian yang kita telah bangunkan sama-sama dengan masyarakat supaya kita boleh memaksimumkan potensi dan pendekatan mereka," tambah Dr Faishal.
Bahkan, sejak Anjung@WGS dibuka, lebih banyak acara sukan telah dapat dianjurkan di situ.
USAHA TARIK GOLONGAN MUDA

Dr Faishal turut mendedahkan antara strategi WGS untuk menyuntik kesegaran untuk menarik golongan muda.

Misalnya, kafe Penny University yang popular di kalangan anak muda baharu sahaja dibuka di situ.

Buat masa ini, kesemua ruang kedai di WGS sudahpun disewa.

"Walaupun kita mahu memberikan ruang kepada aspek-aspek tradisional, tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa WGS ini juga adalah hab untuk semua masyarakat Melayu kita termasuk golongan belia. Jadi ada beberapa cawangan yang kita ada di sini adalah untuk mendekati golongan belia," kata Dr Faishal.

LEBIH KEMUDAHAN BOLEH DIJANGKAKAN APABILA SELESAI KERJA-KERJA PEMBINAAN

Keadaan di Geylang Serai bertambah sibuk sekarang ini dengan kerja-kerja pembinaan di Jalur Budaya Geylang Serai bagi menyuntik kesegaran ke kawasan itu.

Dimulakan sejak Jun 2023, ia dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

Sungguhpun terdapat sedikit gangguan pergerakan disebabkan penutupan sebahagian kawasan di Pusat Penjaja dan Pasar Geylang Serai dan Kompleks Joo Chiat, Dr Faishal memberi jaminan bahawa apabila siap, ia dapat memberikan lebih kemudahan kepada para pengunjung.

"Dengan adanya kerja-kerja pembinaan yang dilakarkan di Jalur Budaya, ia bukan sahaja memberikan satu identiti yang lebih jelas dalam kawasan ini, tetapi ia boleh membuka ruang yang lebih banyak untuk WGS untuk menjadi hab budaya Melayu di daerah ini.

"Di mana kita mahu melihat bagaimana pembangunan ini boleh melicinkan perjalanan mereka yang mahu datang ke sini, membeli belah di daerah berdekatan seperti di Kompleks Joo Chiat, Pasar Geylang Serai dan juga tempat-tempat yang lain dan bagaimana WGS sentiasa akan menjadi tarikan sebagai satu hab untuk pembangunan di daerah yang berdekatan ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sokongan serta kerjasama MMO untuk terus merancakkan WGS.

"Program-program yang disediakan di WGS boleh bukan sahaja menepati sasaran, tetapi ia juga boleh meluaskan pendekatan kepada pelbagai segmen. WGS boleh memberikan ataupun memberikan ruang untuk mendapatkan sasaran yang lebih tepat kepada pemerintah dan kepada badan-badan yang lain untuk mendatangkan keuntungan, kebaikan kepada masyarakat Melayu kita di Singapura," jelas Dr Faishal.

VISI 5 TAHUN AKAN DATANG

Ditanya tentang visi dan harapan beliau buat WGS lima tahun akan datang, Dr Faishal memberi berharap ia akan terus menjadi lambang dan kebanggaan masyarakat Melayu.

"Kami akan meneruskan usaha untuk terus membangunkan Wisma Geylang Serai dekat di hati masyarakat kita dan terus relevan dan membangun. Yang paling penting pada pendapat saya, mendatangkan kebaikan dari segi kehidupan kita, keseronokan kita dan bagaimana kita masyarakat Melayu di Singapura rasa bangga, bahagia dan juga dapat memiliki satu aspek kehidupan di mana bukan sahaja sebagai warga Singapura, tetapi mempunyai jati diri Melayu di Singapura," kata Dr Faishal.

Tambahnya, projek Jalur Budaya akan bukan sahaja memberikan satu identiti yang lebih jelas dalam kawasan tersebut, tetapi membuka ruang yang lebih luas untuk WGS untuk menjadi hab budaya Melayu di daerah itu.

SAMBUTAN ULANG TAHUN MERIAH

Sempena sambutan ulang tahun WGS yang ke-5 juga, pelbagai sajian menarik disediakan untuk orang ramai.

Antaranya termasuk konsert ulang tahun yang menampilkan bintang-bintang tempatan dan seberang termasuk Dayang Nurfaizah, Alyah, Elly Mazlein, Syamel, Rahimah Rahim, Hetty Sarlene, Elfee Ismail dan ramai lagi pada Sabtu (27 Jan).

Sebuah bazar menjual barangan keperluan dan makanan juga diadakan sepanjang lima hari daripada 24 hingga 28 Januari.

Bagi menyokong para peniaga di situ juga, Dr Faishal berkongsi tentang promosi istimewa yang ditawarkan di kedai-kedai dan restoran-restoran di bangunan WGS.

"Kedai-kedai di sini akan memberikan diskaun lima peratus kepada semua pelanggan yang membeli barang-barang, makanan di sini. Kita mahu berkongsi dengan masyarakat bagaimana dengan sokongan mereka, maklum balas yang diberikan oleh mereka, dan kita bekerjasama dengan mereka, kita boleh membangunkan WGS dan mendapatkan pembangunan yang baik," kata Dr Faishal.

Sambutan ulang tahun ke-5 WGS berlangsung sehingga 28 Januari.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan