Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal gesa pertubuhan seni perluas ruang bagi galak orang ramai hargai karya

Pertubuhan-pertubuhan seni digesa supaya memperluaskan ruang untuk para penggiat berkarya dan memudahkan lagi untuk orang ramai menghargai dan menghayati karya mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal gesa pertubuhan seni perluas ruang bagi galak orang ramai hargai karya

Buat julung-julung kalinya, pameran ke-47 Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) ini, memaparkan karya seni bukan anggota, termasuk pelajar semuda 13 tahun dan beberapa orang selebriti. (Gambar: Helmy Saat/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Pertubuhan-pertubuhan seni digesa supaya memperluaskan ruang untuk para penggiat berkarya dan memudahkan lagi untuk orang ramai menghargai dan menghayati karya mereka.

Ini kerana pertubuhan-pertubuhan seni berperanan untuk menyemarakkan lagi landskap seni Singapura dan memperkayakannya dengan hasil karya mereka.

Seruan ini dibuat oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim semasa melancarkan pameran Kontemporari 2017 anjuran Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) siang tadi (23 Dis).

Pameran 'Kontemporari 2017' menyulam hasil karya para pelukis daripada pelbagai latarbelakang.

Orang ramai mengamati hasil karya seni di pameran tersebut. (Gambar: Helmy Saat)

Orang ramai mengamati hasil karya seni di pameran tersebut. (Gambar: Helmy Saat)

Buat julung-julung kalinya, pameran ke-47 Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) ini, memaparkan karya seni bukan anggota, termasuk pelajar semuda 13 tahun dan beberapa orang selebriti.

Suntikan tenaga baru, khususnya, bakat-bakat muda amat dialu-alukan oleh Tetamu Terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

"Jadi, saya mengalu-alukan apa yang dilakukan oleh APAD dan saya harap mereka akan terus membangun dan memberikan lebih banyak ruang kepada belia-belia kita untuk melihat bagaimana rangkaian ini boleh memberikan laluan kepada mereka untuk membangunkan mereka, yang pertama kepada mereka yang pelukis untuk membangunkan daya profesional mereka, yang kedua bagaimana wadah ini memberikan ruang yang pelbagai kepada masyarakat kita untuk hidup dengan lebih baik dan lebih kaya dengan seni dan ciri-ciri kehidupan yang baik di Singapura," katanya.

Sehubungan itu, pertubuhan-pertubuhan seni seperti APAD juga digesa supaya terus kekal relevan, lebih-lebih lagi dalam era digital yang kian berubah-ubah.

"Jadi, sebagaimana kumpulan-kumpulan lain ya, ada badannya sendiri, jadi kita pun harus ada badan untuk perjuangkan seni kita ini. Jadi, menunjukkan keutuhan orang kita sebagai pencinta seni dan pembentuk seni," kata Encik Yusoff Abdul Latiff, salah seorang anggota APAD.

"Kami membuka kepada bukan anggota supaya mereka dapat berjinak-jinak dengan kita dan lebih mengenali persatuan dan juga untuk kepelbagaian. Kami mahukan tenaga muda, orang-orang muda untuk menyertai APAD untuk melanjutkan perjuangan kami, untuk melestarikan seni masyarakat Melayu," kata seorang lagi anggotanya, Encik Kamal Dollah pula.

Sebanyak 71 karya yang dihasilkan oleh 52 pelukis Melayu dipamerkan kali ini.

Dr Faishal mendengar penerangan salah seorang penggiat. (Gambar: Helmy Saat)

Dalam pada itu, seramai 20 pelukis baru dan bukan anggota APAD turut menyumbangkan karya seni mereka.

Salah seorang daripadanya, Nurul Asyikin Muzlan berkata: "Peluang ini memberikan saya semangat untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan saya melihat banyak karya yang memberikan inspirasi dari segi teknik yang digunakan dan apa yang ingin ditonjolkan kepada masyarakat."

'Kontemporari 2017' akan berlangsung di Galeri ION sehingga 1 Januari 2018 dan tiada bayaran masuk dikenakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan