Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal galak keluarga tinggal rumah sewa "orak langkah pertama" kecap impian miliki rumah sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal galak keluarga tinggal rumah sewa "orak langkah pertama" kecap impian miliki rumah sendiri

Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim, bertemu dengan pasangan Encik Eddie dan Cik Fizah di flat sewa mereka di Upper Boon Keng pada 4 Jan 2021. (Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

SINGAPURA: Keluarga-keluarga yang tinggal di flat sewa boleh mendampingi para pegawai dari pejabat cawangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk mengetahui langkah pertama yang perlu diambil bagi memenuhi impian mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata para pegawai HDB bersedia untuk menghulurkan bantuan serta sokongan, seberapa boleh, bagi merealisasikan impian golongan tersebut yang terbantut dek sebab-sebab peribadi.

"Baru semalam saya bertemu dengan pasangan sedemikian, Encik Eddie dan Cik Fizah, yang akan mendapatkan kunci rumah mereka pada Mac ini," kongsi Dr Faishal di Facebooknya pada Rabu (5 Jan).

Menurut Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, pasangan itu sudah hampir sedekad menetap di flat sewa di Upper Boon Keng.

Dengan panduan Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) HDB, kata Dr Faishal, pasangan itu dibimbing untuk melakarkan bajet perumahan serta pilihan bagi membeli sebuah flat baru. Tidak lama lagi, pasangan tersebut akan berpindah ke flat dua bilik mereka di Sengkang.

"Cik Fizah sangat teruja untuk berpindah ke sana kerana ibu dan saudara lelakinya tinggal di estet yang sama," kongsi Menteri Negara itu.

Menurut Dr Faishal, sejak menyertai Kementerian Pembangunan Negara (MND), beliau diberi kesempatan untuk bertemu dengan ramai penduduk dari pelbagai estet HDB termasuklah keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa.

"Sesetengah keluarga ini bekerja keras untuk membeli flat mereka sendiri dan menanti masa untuk mendapatkan kunci rumah baru mereka," ujarnya, menukil pasangan Encik Eddie serta Cik Fizah.

Menyifatkan flat barunya sebagai "rumah idaman", Cik Fizah berkongsi dengan Dr Faishal bahawa ia menjadi hasrat seumur hidupnya untuk memiliki rumah sendiri.

Walaupun perjalanan pasangan itu untuk memiliki rumah sendiri berliku, mereka bersyukur atas bantuan daripada para pegawai Cawangan Sims Drive HDB yang membantu mereka sepanjang menetap di rumah sewa serta mencadangkan kepada mereka kemungkinan untuk memiliki flat sendiri, kata Dr Faishal.

"Meskipun pasangan itu berasa sedih untuk meninggalkan jiran tetangga lama apabila mereka berpindah, mereka teruja untuk memulakan fasa seterusnya dalam kehidupan mereka di rumah baru mereka.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan mereka dan berharap kisah mereka akan mencetuskan inspirasi kepada orang lain yang melalui keadaan serupa untuk berusaha mengecapi impian memiliki rumah mereka sendiri," ungkap Dr Faishal.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan