Skip to main content

Singapura

Dr Faishal bincang usaha sokong keperluan masyarakat, kukuhkan perpaduan sosial dengan Menteri Agama Brunei

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal bincang usaha sokong keperluan masyarakat, kukuhkan perpaduan sosial dengan Menteri Agama Brunei
(Gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Nov 2025 09:25AM Dikemas Kini : 26 Nov 2025 09:28AM
SINGAPURA:Kecerdasan buatan (AI) berupaya membantu Singapura dan Brunei Darussalam menangani ancaman-ancaman yang semakin meningkat.

Ini di samping menyokong keperluan masyarakat di Singapura dan Brunei Darussalam untuk saling memperkukuh keselamatan dan perpaduan sosial kedua-dua negara.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim menekankan demikian dalam catatan Facebook pada Selasa (25 Nov) sebelum menggulung lawatan rasmi beliau ke Brunei Darussalam dari 24 hingga 25 November.
Semasa lawatan itu, Dr Faishal juga berkesempatan untuk menyambungkan perbincangan bersama Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei, Pehin Badaruddin Othman.

Mereka terakhir kali bertemu di Melaka semasa pertemuan MABIMS, di mana mereka berkongsi pandangan tentang usaha memperkukuh institusi-institusi keagamaan dan masyarakat serta usaha memperkasa masyarakat masing-masing.

Dalam catatan Facebook yang sama, Dr Faishal turut berkongsi bahawa Pehin Badaruddin Othman membesar di Singapura ketika menuntut di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

“Pehin Badaruddin adalah seorang tokoh agama yang sangat disegani dan sahabat baik Singapura, dan saya amat berterima kasih kepadanya kerana begitu ikhlas dan bermurah hati berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat yang sangat bernas,” dedah Dr Faishal dalam catatan tersebut.

Menurut Dr Faishal, Pehin Badaruddin Othman juga merupakan antara pemimpin pertama yang mengutuskan surat tahniah sewaktu beliau dilantik untuk menyandang jawatan tersebut pada Mei lalu.

Dr Faishal juga berpeluang bertemu dengan Dato Ahmaddin Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan tentang keutamaan bersama kedua-dua negara.

“Saya berharap dapat meneruskan pertukaran bermakna seperti ini, mempereratkan hubungan antara jiran-jiran kita, dan saling belajar antara satu sama lain sambil kita mengekalkan nilai perpaduan yang dikongsi bersama,” kata Dr Faishal sebelum mengakhiri catatan tersebut.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita