Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Faishal bersyukur SSSgt Haidil Osman tidak cedera parah; sanjung kerja keras Polis Trafik

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya hari ini (28 Okt) menarik perhatian kepada tugas mencabar para pegawai Polis Trafik (TP) dalam menegakkan undang-undang dan menjaga ketenteraman di samping menguatkuasakan peraturan lalu lintas di jalan raya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya hari ini (28 Okt) menarik perhatian kepada tugas mencabar para pegawai Polis Trafik (TP) dalam menegakkan undang-undang dan menjaga ketenteraman di samping menguatkuasakan peraturan lalu lintas di jalan raya.

Ini menyusuli kejadian di Upper Paya Lebar Road siang tadi di mana seorang pegawai Polis Trafik dilanggar oleh seorang pemandu yang cuba mengundurkan keretanya bagi mengelakkan diri daripada ditahan Polis Trafik.

Kedua-dua pemandu kereta dan penumpangnya diberkas petang tadi.

Memberikan kemas kini tentang keadaan pegawai Polis Trafik itu, Dr Faishal berkata pegawai berkenaan, iaitu Staf Sarjan Kanan (SSSgt) Haidil Osman kini dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk.

Beliau turut mendoakan SSSgt Haidil Osman akan sembuh dengan segera.

Menurut Dr Faishal, ini bukan kali pertama seorang pegawai Polis Trafik mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas.

"Tugas mereka berisiko kerana bahaya tidak berbau dan mereka kadangkala tidak dapat menilai keadaan sehingga ia terlalu lewat untuk mencegahnya.

"Mereka mudah terjejas dan motosikal yang ditunggang tidak banyak memberikan perlindungan dan mereka perlu bergantung kepada latihan, pengalaman dan naluri masing-masing untuk menjauhi bahaya," kata Dr Faishal.

"Mereka menghadapi risiko dengan tenang dan terus melakukan rondaan di jalan raya bagi menjaga keselamatan semua pengguna jalan raya.

"Profesionalisme dan dedikasi mereka untuk berkhidmat sangat disanjungi. Saya menghargai segala usaha mereka dan bangga atas kerja keras mereka dalam menjaga keselamatan jalan raya Singapura," kata Dr Faishal sebelum mengakhiri catatannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan