Skip to main content

Singapura

Dr Faishal, anggota AMAP bersedih atas kematian mangsa nahas e-skuter di Bedok

Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, meluahkan kesedihan atas berita tentang pemergian Cik Ong Bee Eng setelah wanita berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan seorang pengguna e-skuter yang menunggang secara melulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Faishal, anggota AMAP bersedih atas kematian mangsa nahas e-skuter di Bedok

(Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

Diterbitkan : 27 Sep 2019 01:23PM Dikemas Kini : 27 Sep 2019 01:25PM

SINGAPURA: Pengerusi Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, meluahkan kesedihan atas berita tentang pemergian Cik Ong Bee Eng setelah wanita berkenaan terlibat dalam kemalangan dengan seorang pengguna e-skuter yang menunggang secara melulu.

Dalam catatan Facebooknya hari ini (27 Sep), Dr Faishal berkata seluruh anggota AMAP turut bersedih atas kematian tragik Cik Ong.

E-skuter yang tidak mematuhi piawai yang ditetapkan itu melanggar Cik Ong di laluan berbasikal yang dikongsi bersama pengguna lain.

Dr Faishal berkata tindakan tidak bertanggungjawab seseorang individu meragut nyawa seorang ibu, kakak dan kawan. Cik Ong disifatkan sebagai seorang yang mesra, murah hati dan penyayang kepada semua orang yang mengenalinya.

Pengayuh basikal berusia 65 tahun itu dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH) dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah kemalangan tersebut berlaku berhampiran Blok 539 Bedok North Street 3 pada 21 September lalu.

Beliau meninggal dunia akibat kecederaannya pada 25 September.

Penunggang e-skuter, seorang lelaki berusia 20 tahun, sudahpun diberkas. Polis menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut sebagai kematian akibat perbuatan melulu.

Menurut Dr Faishal, isu PMD membangkitkan satu perdebatan hangat sejak beberapa bulan lalu. Sesetengah daripada mereka menentang penggunaannya, kata Dr Faishal, namun ada segelintir yang tampil untuk berkongsi betapa alat pengangkutan baru itu membantu dalam kehidupan seharian mereka selain menawarkan pilihan baru bagi mobiliti dan pekerjaan.

Kemalangan tragik itu menggariskan keperluan untuk melaksanakan saranan-saranan AMAP dengan pantas dan terus meningkatkan pendidikan serta penguatkuasaan bagi mewujudkan budaya menunggang yang selamat, tulis Dr Faishal yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Beliau menambah AMAP sudahpun menyerahkan cadangan-cadangan terkininya kepada pemerintah untuk meningkatkan keselamatan di laluan awam.

Mengakhiri catatan Facebooknya, Dr Faishal berkata berjalan kaki, berbasikal dan menunggang alat PMD boleh menjadi satu bentuk perjalanan yang menghiburkan di Singapura "tetapi kita perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini".

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita