Dr Faishal alu-alukan lebih ramai relawan bantu jayakan Projek DIAN@M³
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim mengalu-alukan lebih ramai relawan untuk membantu menjayakan Projek DIAN@M³ yang diumumkan baru-baru ini.
SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Faishal Ibrahim mengalu-alukan lebih ramai relawan untuk membantu menjayakan Projek DIAN@M³ yang diumumkan baru-baru ini.
Usaha tersebut akan membantu lebih ramai keluarga Melayu/Islam yang menetap di flat-flat sewa secara menyeluruh agar akhirnya membolehkan mereka untuk memiliki rumah sendiri.
Antara mereka yang akan terlibat dalam Projek DIAN@M³ apabila ia dilancarkan pada suku keempat tahun ini termasuklah para relawan M³@Bandar.
"Untuk projek DIAN@M³, kami melihat kepada institusi-institusi dan para relawan yang kami ada. Sejak M³ ditubuhkan, jumlah relawan terus meningkat. Misalnya, kami mempunyai 500 relawan bersama kami bagi M³@Bandar," kongsi Dr Faishal di parlimen.
"Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (ECO) akan melengkapi para relawan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mendekati para penghuni rumah sewa," tambah beliau.
Setakat 2020, sekitar 18,600 isi rumah penduduk Melayu tinggal di flat sewa satu dan dua bilik. Bilangan itu seganda lebih tinggi berbanding kira-kira 9,100 pada tahun 2010.
"Jadi kita akan memperhebat usaha agensi-agensi dan rakan-rakan masyarakat supaya para penduduk rumah sewa mendapat sokongan menyeluruh daripada program-program sedia ada," terangnya.
3 TUMPUAN UTAMA DIAN@M³
Dr Faishal turut menggariskan tiga fokus utama DIAN@M³ semasa menerangkan lebih lanjut tentang projek itu.
Pertama adalah meningkatkan tahap mobiliti antara generasi dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada keluarga-keluarga yang mempunyai anak. Ini akan dilakukan dengan menyelaraskan usaha-usaha M³ dengan program-program pemerintah seperti KidSTART dan UPLIFT.
Kedua, membantu keluarga yang tinggal di rumah sewa mendapat pekerjaan lebih baik dan mempunyai sumber pendapatan yang stabil agar kelak, mereka boleh membeli flat sendiri.
"Ini termasuk membantu keluarga-keluarga ini menggunakan kredit-kredit SkillsFuture dan menghubungkan mereka kepada program-program bimbingan kerjaya di bawah Mendaki SENSE," kata Dr Faishal.
"Kami ingin menggalak lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja tempatan. Bagi kaum Hawa yang ingin kembali bekerja selepas berkahwin atau melahirkan, ada juga program oleh Mendaki SENSE yang akan menghubungkan mereka kepada para majikan," tambah beliau.
Akhir sekali, DIAN@M³ ingin memastikan keluarga-keluarga di flat-flat sewa mendapat sokongan sosial agar dapat hidup dalam persekitaran yang baik menerusi program seperti Bersamamu dan Projek ARIF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.