Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Elmie: Warga tua lebih sukar nilai kesahihan berita palsu berbanding golongan muda

Golongan warga tua membentuk kumpulan yang paling mudah terpengaruh dan terdedah kepada berita palsu, menurut pemerhatian Penolong Profesor Jabatan Media Baru Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Elmie: Warga tua lebih sukar nilai kesahihan berita palsu berbanding golongan muda

Penolong Profesor Jabatan Media Baru NUS, Dr Elmie Nekmat.

SINGAPURA: Golongan warga tua membentuk kumpulan yang paling mudah terpengaruh dan terdedah kepada berita palsu, menurut pemerhatian Penolong Profesor Jabatan Media Baru Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat.

Salah satu langkah awal bagi membantu golongan tersebut celik IT kata beliau adalah dengan membangunkan masyarakat netizen yang inklusif.

Visi itu tambahnya dapat dicapai menerusi usaha komprehensif untuk merapatkan jurang antara generasi.

REAKSI YANG BERCAMPUR

Menerusi kajian Dr Elmie Nekmat di Amerika Syarikat, beliau mendapati golongan warga senja di sana lebih celik IT, bijak dan yakin dalam menggunakan media digital.

Dr Elmie menyifatkan keadaan itu sebagai 'optimism bias' - di mana perbandingan antara satu golongan dengan lainnya dilihat berdasarkan tahap sensitif mereka terhadap berita palsu.

Namun berbeza dengan situasinya di sini, yang mana golongan warga emas lebih cenderung untuk terus menghubungi pihak berkuasa.

Antara reaksi golongan warga senja ketika ditemui oleh pihak BERITAmediacorp meliputi:

"Saya tak tunggu-tunggu, saya telefon 9 tiga kali, saya telefon polis."

"Berita palsu kalau dapat berita palsu, saya mengadukan kepada pihak yang berkuasa."

Ada juga yang kurang yakin untuk membuat penilaian sendiri:
"Saya diam saja lah, tak ada reaksi apa-apa."

"Kalau rasa-rasa macam 50-50 saya tak akan beritahu siapa-siapa, selalunya saya baca, saya takkan beritahu siapa-siapa untuk pengetahuan sendiri."

"Kadang-kadang yang bukan-bukan kata barang murah, barang murah, kita tengok eh betul ke barang murah, macam-macam kan sekarang."

RAPATKAN JURANG ANTARA GENERASI

Dengan kurangnya pengetahuan terhadap cara dan langkah yang perlu diambil dalam menangani masalah berita palsu, jelasnya, golongan warga senja merupakan sasaran utama yang 'senang untuk dipancing'.

"Penilaian atau keyakinan diri dalam golongan warga tua atau emas, keyakinan diri mereka dalam menilai kesahihan, ketulenan, sesebuah informasi dalam talian, berbeza dengan kaum lebih muda dan golongan belia," kata Dr Elmie yang juga Anggota Majlis Celik Media.

Lantaran itu, untuk membina sebuah masyarakat netizen yang selamat dan inklusif, Dr Elmie menyarankan pelibatan anggota masyarakat yang lebih komprehensif merangkumi generasi muda dan tua.

Generasi milenial menurut Dr Elmie, memainkan peranan besar dalam melindungi warga senja daripada ancaman berita palsu.

Usaha antara generasi itu dapat dilihat menerusi Kempen Internet yang Lebih Baik yang dijalankan sejak Mac lalu dengan melakarkan pelbagai program yang disesuaikan untuk warga emas.

Antara programnya meliputi Kit Pemeriksaan Fakta Sherlock yang bertindak sebagai sebuah kit untuk menilai tentang sebuah informasi yang palsu, serta Kurikulum Infokom Warga Emas yang dianjurkan oleh Persatuan Rakyat untuk mendampingi golongan warga senja dengan aktiviti digital di estet kejiranan.

SKIM PENIPUAN LEBIH SOFISTIKATED

Menurut Dr Elmie, kesemua usaha itu penting dalam memerangi masalah berita palsu, kerana jika yang sebaliknya berlaku ia boleh membawa risiko dan implikasi yang lebih besar kepada golongan senja.

"Jadi kalau mereka tidak ada asas yang lebih stabil atau yang lebih kuat, bila teknologi lebih pesat, kaedah menggunakan berita palsu lebih hebat, lebih susah, skim-skim penipuan dalam talian akan menjadi lebih sofistikated dan rumit jadi lebih susah untuk mereka mengenal pasti.

"Jadi pengetahuan asas (bagi warga senja) mesti kuat," tambahnya.

Langkah awal untuk berdepan dengan cabaran itu menurutnya adalah untuk menahan perasaan daripada menyebarkan mesej yang mempunyai kemungkinan untuk menjadi tular.

Satu lagi program tentang ancaman berita palsu, Pesta Digital Inklusif, akan dianjurkan dari 26 hingga 28 hari bulan ini, di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan