Dr Asyifah Mohamed Rashid terima Biasiswa Lee Kuan Yew 2025
Dari makmal ke ruang strategi — perjalanan Dr Asyifah Mohamed Rashid, 34 tahun, menerima pengiktirafan tertinggi apabila beliau dipilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa Lee Kuan Yew 2025.
Dr Asyifah, yang kini Pemangku Pengarah di Pejabat Strategi dan Operasi di A*STAR Genome Institute of Singapore (A*STAR GIS), diiktiraf atas sumbangan cemerlang dan komitmennya dalam menghubungkan bidang sains, dasar awam dan pembangunan masyarakat.
Biasiswa berprestij itu diberikan kepada individu yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik dan profesional, tetapi juga berjiwa khidmat iaitu mereka yang berhasrat menyumbang secara mendalam kepada negara dan rakyatnya.
Beliau yang juga ibu kepada dua anak akan melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di INSEAD, Singapura, bermula pertengahan Ogos ini.
Di A*STAR GIS, Dr Asyifah memainkan peranan penting di sebalik tabir.
Beliau menyelaraskan pelbagai projek penyelidikan merentas disiplin serta memastikan pelan kesinambungan operasi institusi itu sentiasa mantap.
"Saya melibatkan diri saya dengan pihak atasan untuk mengendalikan tumpuan-tumpuan penyelidikan yang institut itu akan mengendali dan saya juga melibatkan diri dalam perancangan penggunaan makmal untuk lebih optimal.
"Walaupun tugasan ini tidak mungkin ketara pada khalayak ramai, ia memberikan saya kepuasan yang amat tinggi kerana tanpa proses-proses dan sistem-sistem sebegini, ia tidak akan membolehkan kita melakukan sains dengan sebaiknya, "kata Dr Asyifah.
DR ASYIFAH BUAT PERALIHAN DARI BIDANG SAINS
Sebelum menceburi bidang pentadbiran awam, Dr Asyifah dilatih sebagai seorang ahli kimia perubatan.
Beliau terdorong untuk membuat peralihan kerjaya kerana mahu menyumbang secara lebih langsung dalam bidang sains, penggubalan dasar dan pembangunan negara.
Menurutnya, peluang untuk memberi impak yang lebih luas kepada masyarakat menjadi antara faktor utama di sebalik keputusan tersebut.
Walaupun mengakui bahawa peralihan itu bukan satu langkah yang mudah, Dr Asyifah berkata ia memberikan kepuasan yang lebih mendalam dan bermakna.
AKTIF DALAM KERJA KEMASYARAKATAN
Di sebalik komitmen profesionalnya, Dr Asyifah turut giat melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan di Marsiling.
Beliau memainkan peranan aktif dalam menerajui pelbagai inisiatif penjagaan kesihatan serta menyokong usaha pembangunan masyarakat di peringkat akar umbi.
"Saya suka menolong orang dan membuat kerja sukarelawan di akar umbi Marsiling juga memberikan saya pandangan yang agak luas dan juga memberikan saya peluang untuk memahami lagi keperluan masyarakat.
"Misalnya, bagaimana kita boleh menggunakan sains untuk memperbaiki perjalanan kehidupan seseorang dan ia bukan sahaja suatu hobi bagi saya, ia merupakan satu peluang untuk memahami para penduduk dan juga memahami situasi di luar sana," ujarnya.
Apabila ditanya mengapa memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, ini jawapan Dr Asyifah:
"Saya percaya pemimpin dalam bidang sains perlu lebih daripada kepakaran dalam teknikal dan ia termasuk pandai berhubung dengan pelbagai pihak termasuk dasar pemimpin negara, para pakar industri dan juga mengetahui keperluan masyarakat.
"Jadi melalui program ini, saya berharap ia dapat memperluaskan lagi pandangan saya dan juga mempertingkatkan lagi kemahiran saya dalam memikir dengan lebih strategi dan juga membawa kesan yang lebih besar di dalam kerja saya nanti."
Selain pencapaian peribadinya, Dr Asyifah turut menyimpan harapan agar perjalanan kerjayanya dapat menjadi contoh dan dorongan buat golongan muda, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
"Saya ingin terus bekerja keras dan saya rasa dengan MBA ini, ia juga dapat memperkukuhkan kelayakan saya untuk memimpin dengan secara lebih menyeluruh dan saya harap ia akan menjadi satu inspirasi bagi masyarakat kita untuk juga melakukan perkara yang sama. Saya rasa ada banyak peluang yang ada dan saya ingin mengalu-alukan supaya masyarakat kita menceburi di dalam bidang ini. Walaupun ia boleh menakutkan pada mulanya," tambah Dr Asyifah.
Seorang lagi penerima tahun ini ialah Jean Loo Qingwen, yang mengetuai kerja-kerja advokasi dan pembangunan masyarakat di Rainbow Centre.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.