DPPMS umum 3 inisiatif sokong usahawan Melayu/Islam dakapi AI, teroka pasaran baharu
Majlis Ulang Tahun Ke-70 dan Anugerah DPPMS yang berlangsung di Hotel Fairmont pada Jumaat (23 Okt). (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
Di bawah inisiatif itu, para usahawan Melayu/Islam yang merupakan anggota DPPMS akan mendapat akses percuma kepada kursus AI dan Sijil Kerjaya Google.
Kursus-kursus itu akan membantu para peniaga dan pasukan mereka menguasai kemahiran digital dan AI yang praktikal dan boleh digunakan dalam operasi harian mereka.
Ia merupakan antara tiga inisiatif baharu yang diumumkan Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan sempena Majlis Ulang Tahun Ke-70 dan Anugerah DPPMS di Hotel Fairmont pada Jumaat (23 Okt).
Dr Malik berkata bahawa penggunaan teknologi perlu membawa manfaat praktikal bagi para peniaga dan pelanggan.
“Sama ada AI, alat digital atau amalan perniagaan baharu, yang penting ialah bagaimana semua ini dapat membantu perniagaan menjimatkan masa, meningkatkan daya penghasilan, memahami pelanggan mereka dan beroperasi dengan lebih berkesan,” kata Dr Abdul Malik.
"DPPMS mahu terus menjadi rakan yang dapat membantu para usahawan memperkukuh perniagaan, meningkatkan kemahiran
dan mendapatkan akses kepada peluang yang bersesuaian," kata Dr Malik.
Perincian kedua-dua inisiatif itu akan dikongsi DPPMS dalam beberapa bulan akan datang.
Inisiatif-inisiatif itu saling melengkapi usaha-usaha lain pemerintah seperti Inisiatif Perusahaan AIReady yang diterajui SGTech.
DPPMS juga telah bekerjasama dengan SGTech dan akan memberi manfaat kepada sekitar 60 perniagaan dan melahirkan Pejuang Digital yang boleh membimbing lebih ramai usahawan lain.
Kerjasama sedemikian dialu-alukan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad yang turut hadir di majlis tersebut.
Dalam ucapannya, Encik Zaqy berkata, “Saya tahu bukan mudah untuk terus bersaing, lebih-lebih lagi bagi perniagaan kecil yang mempunyai sumber yang terhad. Namun, AI dan automasi boleh membantu meningkatkan produktiviti dan mengurus perniagaan dengan lebih cekap.”
Beliau turut mendorong para peniaga untuk memanfaatkan peluang tersedia untuk menebarkan sayap ke pasaran baharu.
"Sudah tiba masanya untuk usahawan kita melangkah lebih jauh. Bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi berani merebut peluang, meneroka pasaran baharu dan mengembangkan perniagaan," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Penaung DPPMS.
DPPMS MEMETERAI MOU DENGAN SMF
DPPMS turut memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) bagi membantu perniagaan meneroka peluang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menerusi jalinan perniagaan dan perkongsian pengetahuan.
DPPMS sebelum ini juga sudah memeterai MOU dengan Maybank Singapura untuk menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (SME) dengan tumpuan kepada JS-SEZ serta ASEAN.
Sempena ulang tahun ke-70 itu, DPPMS turut memberi pengiktirafan kepada usahawan atas pencapaian mereka.
Antara mereka ialah Encik Ridhwaan Radzi dari RizqX Pte Ltd yang menerima Anugerah Syarikat Pemula Golden Chance.
Anugerah itu bagi mengiktiraf perniagaan berusia kurang lima tahun dengan daya inovasi dan kejayaan awal di pasaran.
Pengiktirafan itu disifatkannya sebagai satu dorongan untuk meluaskan lagi usaha.
“Ia memberi kami satu peluang untuk lebih dikenali oleh masyarakat, bahawa ada satu solusi daripada masyarakat sendiri yang sedang membuat sesuatu supaya masyarakat kami dapat melabur dengan cara yang halal, cara yang mengikut agama mereka,” kata Encik Ridhwaan.
Beliau turut berkongsi antara cabaran untuk memasuki pasaran antarabangsa kepada wartawan Fatyn Abdul Samad.
Antaranya ialah kesukaran mencari pekerja yang berkongsi nilai syarikat serta membina rangkaian di luar negara.
Oleh itu kata Encik Mikhail, kerjasama dengan rakan luar negara penting dan dapat bantu mengatasi cabaran tersebut.
“Selain mencadangkan calon pekerja, mereka juga membantu menghubungkan kami dengan jenama tertentu yang ingin kami bekerjasama dengannya di luar negara,” kata Encik Mikhail.
Mereka antara 14 syarikat dan individu yang diberi pengiktirafan.
Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.