DPPMS sudah capai sasaran 50 syarikat dengan hasil nilai S$1 juta, Presiden baru kongsi rancangan
Memperkukuhkan kedudukan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) selain memperdalami kerjasama antara anggotanya.
BERITAmediacorp: Memperkukuhkan kedudukan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) selain memperdalamkan kerjasama antara anggotanya.
Demikian antara keutamaan jangka pendek yang ditetapkan Encik Abu Bakar Mohd Nor yang baru-baru ini dipilih sebagai Presiden penggal baru DPPMS hingga 2025.
Encik Bakar menggantikan Encik Farid Khan yang memegang jawatan itu selama dua penggal.

Encik Bakar juga merupakan Pengerusi Pusat SMEC@DPPMS dan dalam penggal sebelum ini, beliau menyandang jawatan selaku Timbalan Presiden DPPMS.
Beliau yang juga Pengerusi M Kapital Holdings berpendapat bahawa adalah penting untuk mempertingkatkan status DPPMS di mata dunia.
Beliau berkata, "Kita perlu lihat bagaimana untuk memperkukuh posisi dewan perniagaan ini, sama ada di sini, di peringkat rantau mahupun antarabangsa. Pada masa pasca-pandemik ini, ia merupakan satu peluang untuk kita menilai bagaimana serta membentuk perniagaan-perniagaan kita."
"Jika perniagaan-perniagaan ini kekal teguh dan bekerjasama, kita akan dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing dan memperkukuhkan kedudukan," tambahnya.
Tempoh selepas pandemik kini menurut Encik Bakar, membentangkan peluang luas untuk perniagaan-perniagaan berkembang ke luar negara.
Encik Bakar berkata, "Sekarang ini, kita melihat banyak minat dari luar negara kerana Singapura merupakan sebuah hab. Di rantau ini, Malaysia dan Indonesia ingin membentuk kerjasama strategik. Di peringkat antarabangsa pula, negara-negara di Timur Tengah ingin menggunakan Singapura sebagai satu wadah atau landasan pelancaran."
"Bidang F&B merupakan bidang utama. Di dunia ini, bidang makanan tetap akan menjadi satu cabaran. Bidang utama lain adalah pendigitalan. Di negara-negara lain, mereka mungkin tidak dapat memperkukuhkan perniagaan mereka kerana mereka tidak ada sumbernya tetapi dengan sistem yang kita ada di Singapura, kita dapat membantu dalam usaha mengembangkan perniagaan-perniagaan ini."
Dalam pada itu, keutamaan lain yang perlu diusahakan DPPMS, menurut Encik Bakar adalah untuk meneruskan segala usaha baik yang sudah dilaksanakan sejak penggal lepas.
Ini termasuk pelibatan dan usaha mendampingi anggota DPPMS seperti menerusi acara konvensyennya, DEWIDigi dan Bazar Singapura.
Encik Bakar berkata, "Saya rasa ia sangat penting untuk mengeratkan hubungan yang kami ada terutamanya dengan badan-badan Melayu/Islam. Saya gembira melihat banyak perniagaan kekal bersatu. Dengan itu, kami dapat melihat cara terbaik untuk membantu perniagaan-perniagaan ini."
"Kita perlu teruskan usaha ini supaya kita dapat melihat nilai bekerjasama, nilai saling melengkapi serta bagaimana kita dapat bekerja sebagai satu pasukan," tambah beliau.
Encik Bakar juga berkongsi perkembangan tentang wawasan lima tahun DPPMS yang dilakarkan pada 2019.
Ia menyasarkan untuk membantu 50 syarikat Melayu/Islam mencapai hasil penjualan bernilai lebih S$1 juta dolar keseluruhannya dalam masa lima tahun iaitu sebelum 2024.
Pada ketika itu, DPPMS hanya mempunyai 18 syarikat yang sudah mencapai sasaran itu.
Usaha mereka kian menunjukkan hasil dan, jumlah itu kini sudah melonjak lebih dua kali ganda.
Sebanyak 57 perniagaan kini berjaya catat hasil penjualan bernilai lebih S$1 juta dolar.
Meskipun sudah mencapai sasaran yang ditetapkan, Encik Bakar berkata usaha itu akan diteruskan.
Encik Bakar akur bahawa lembaga baru DPPMS perlu menyokong para peniaga tempatan mempertingkatkan perniagaan mereka agar dapat berkembang ke luar negara.
"Kita perlu memanfaatkan sumber yang kita ada untuk melibatkan ahli, menyediakan kecekapan dan rangkaian serta melihat bagaimana untuk membantu para anggota DPPMS dalam operasi seharian mereka," kata beliau.
Dalam pada itu, Encik Bakar juga menekankan bahawa perancangan strategi dan kewangan perniagaan juga akan dinilai dengan kerjasama Pusat SME dan Enterprise Singapore.
"Untuk membantu lebih banyak perniagaan mencapai nilai S$1 juta, kita perlu lihat sama ada perniagaan itu ada produk yang baik, sama ada mereka ada huraian kepada masalah yang betul. Perancangan perniagaan untuk berkembang juga perlu betul," ujar Encik Bakar.
KEMBANGKAN KEANGGOTAAN DPPMS UNTUK KEJAR PELUANG MENEROKA
Dalam pada itu, DPPMS juga menyasarkan untuk tingkatkan jumlah keahliannya kepada 1,200 menjelang 2024.
Menurut Encik Bakar, usaha telah banyak terhambat dek COVID-19.
Pandemik menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar.
Oleh itu juga, jumlah ahli DPPMS merosot kepada sekitar 430 sekarang berbanding 700 pada 2019.
"COVID-19 banyak menjejas usaha kami. Dengan itu, pada waktu sekarang ini selepas pandemik, ia merupakan satu peluang untuk kita teruskan usaha kami dan membawa masuk lebih banyak anggota demi mempertingkatkan badan ini sebagai satu unit," ujar Encik Bakar.
Beliau berkata bahawa lebih banyak perhatian akan diberikan untuk mendapatkan syarikat dalam bidang-bidang baru untuk menyertai mereka.
"Profil dan landskap para anggota kami sudah berubah. Sepanjang dua penggal lalu, kebanyakan anggota adalah daripada bidang F&B. Tetapi, kini kita dapat melihat lebih banyak syarikat daripada bidang seperti kejuruteraan, data dan kewangan yang menjadi anggota. Ini merupakan satu arah tujuan yang baik."
"Inilah kepentingan ekosistem. Lebih banyak syarikat yang kita ada, lebih banyak kecekapan yang kita ada dalam ekosistem itu, lebih banyak kita dapat membina, dan dapat kita teroka sebagai satu pasukan," tambah Encik Bakar.
Lebih daripada isu jumlah keahlian juga, Encik Bakar akur bahawa DPPMS perlu mempunyai sumber-sumber untuk menepati keperluan para anggotanya.
Anggota lembaga baru DPPMS diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tahunannya pada Khamis (1 Jun).
Senarai Lembaga Pengarah DPPMS bagi penggal 2023 hingga 2025:
Presiden: Abu Bakar Mohd Nor*
Pengerusi M Kapital Holdings
Timbalan Presiden: Azhar Othman*
Pengerusi Eksekutif Enercon Asia Group
Naib Presiden: Fadilah Majid
Pengarah Pengurusan Spa Jelita
Naib Presiden: Abdul Malik Hassan*
Pengasas Crave Nasi Lemak
Setiausaha Kehormat: Iman Yusoff*
Penolong Pengurus Operasi SDV Logistics
*baru
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.