Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPPMS sambut baik 'sokongan seimbang' Belanjawan 2022

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik sokongan-sokongan yang akan dihulurkan kepada syarikat-syarikat dan perniagaan-perniagaan tempatan seperti yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong, dalam kenyataan Belanjawan 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyambut baik sokongan-sokongan yang akan dihulurkan kepada syarikat-syarikat dan perniagaan-perniagaan tempatan seperti yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong, dalam kenyataan Belanjawan 2022.

Presiden DPPMS, Farid Khan berkata Belanjawan 2022 "mampu mengimbangi dengan baik antara keperluan segera dengan matlamat jangka panjang".

Belanjawan 2022 dengan tema Melakar Hala Tuju Baru Kita Bersama, yang dibentangkan pada Jumaat (18 Feb), menumpukan kepada usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, lebih berdaya mampan dan lebih inklusif.

Encik Wong mengiktiraf daya bingkas perniagaan-perniagaan dan masyarakat sepanjang perjuangan melawan pandemik COVID-19.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya untuk memastikan perniagaan kita dapat terus berdaya saing dan untuk sektor-sektor yang berbeza terus melabur dalam keupayaan digital.

SOKONG SME

Antara sokongan yang diumumkan termasuk Geran Pemulihan Perniagaan Kecil, yang merupakan sebahagian daripada Pakej Bantuan Pekerjaan dan Perniagaan, yang menyasarkan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang paling terjejas dek sekatan-sekatan COVID-19.

Geran tersebut akan menyaksikan firma-firma dalam sektor termasuk Makanan dan Minuman, Pelayanan dan Pelancongan menerima S$1,000 bagi setiap pekerja tempatan, dengan had S$10,000 bagi setiap syarikat.

Ini dilengkapi dengan Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan, yang bertujuan menggalak pengambilan pekerja tempatan.

Selain itu, beliau juga mengumumkan tokokan sebanyak S$600 juta kepada Geran Meningkatkan Daya Penghasilan. Ia bertujuan menyokong langkah memanfaatkan huraian-huraian IT, peralatan dan khidmat-khidmat perundingan yang membantu mempertingkatkan daya penghasilan dalam kalangan perniagaan.

"SME mesti terus membina keupayaan-keupayaan baru dan mempercepatkan usaha transformasi untuk kekal berdaya bingkas dalam dunia pasca pandemik," kata Timbalan Presiden DPPMS yang juga Pengerusi Pusat SME@DPPMS, Abu Bakar Mohd Nor.

"Pusat SME, bersama-sama DPPMS akan terus bekerjasama dan membantu perusahaan-perusahaan dalam bidang-bidang seperti pendigitalan, kewangan atau strategi pembangunan perniagaan bagi kemampanan dan pertumbuhan jangka panjang," tambah beliau.

DPPMS juga mengalu-alukan skim-skim lanjutan, yang akan sangat membantu SME dalam pelbagai sektor, terutama sekali yang paling terjejas seperti sektor binaan.

PELANJUTAN PINJAMAN

Dalam kenyataan Belanjawan 2022 juga, Encik Wong mengumumkan Skim Pembiayaan Perusahaan, khususnya pelanjutan dalam Skim Pembiayaan Perusahaan – Pinjaman Perdagangan, Pinjaman Projek serta skim pinjaman Gabungan-Gabungan dan Pemerolehan-Pemerolehan.

Menurut DPPMS dalam kenyataan medianya, menerusi Program Pembiayaan Perniagaan yang dikendalikannya, dewan itu sudah menyaksikan bagaimana Pinjaman Sementara menyediakan perniagaan-perniagaan dengan bantuan kewangan yang diperlukan untuk merapatkan jurang aliran tunai masing-masing, sedang mereka pulih daripada kerugian yang dialami semasa pandemik.

"Pelanjutan pinjaman-pinjaman sedemikian boleh membantu kami untuk pulih daripada kesan kewangan yang datang daripada sewa yang kian meningkat, kos pengambilan pekerja dan operasi yang ditanggung semasa pandemik.

"Kami berharap menerusi bantuan sedemikian, kami boleh memberikan tumpuan kepada matlamat-matlamat lain perniagaan pada tahun ini," kata Pengarah Haig Road Putu Piring, Cik Noraisha.

BINA KEUPAYAAN DIGITAL

Selain itu, Encik Wong juga mengumumkan tambahan S$200 juta untuk membangunkan keupayaan-keupayaan digital.

Langkah itu disokong oleh anggota DPPMS, Hassan Rahman, yang merupakan Pengurus Shima Matin Bridal Services.

"Skim-skim yang menyokong pembangunan modal insan penting untuk perniagaan kami kerana kami nampak pentingnya usaha untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran relevan di tengah-tengah pandemik," kata Encik Hassan.

Presiden DPPMS, Encik Farid gembira melihat Belanjawan 2022 menumpukan perhatian kepada bantuan dan skim-skim untuk perniagaan, dengan memberikan mereka bantuan yang mencukupi untuk mencapai matlamat jangka pendek dan panjang.

"Belanjawan 2022 juga memberikan gambaran kepada penekanan berterusan pemerintah bahawa perniagaan-perniagaan dan kakitangan masing-masing mesti menimba kemahiran-kemahiran masa hadapan untuk kekal relevan dan pada masa yang sama memastikan terdapat sokongan mencukupi untuk perusahaan yang terjejas untuk pulih daripada kerugian, supaya mereka tidak ketinggalan," ujar Encik Farid.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan