Skip to main content

Singapura

DPPMS ketatkan kriteria bagi sijil Perusahaan Milik Muslim yang diperbaharui

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2024 05:01PM Dikemas Kini : 23 Nov 2024 09:32PM
SINGAPURA: Sijil Perusahaan Milik Muslim (MOE) yang dikeluarkan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini diluaskan untuk merangkumi juga perniagaan-perniagaan di luar sektor makanan dan minuman (F&B).

Sebelum ini, sijil MOE hanya diberikan kepada para peniaga F&B sahaja.

Namun dengan perubahan itu, perniagaan-perniagaan dari pelbagai sektor termasuk khidmat korporat, agensi pelancongan atau rekaan dalaman juga layak kini untuk memperoleh pensijilan tersebut.

Versi baharu sijil itu iaitu MOE 2.0 dilancarkan pada Jumaat (22 Nov).

KENAKAN KRITERIA BAHARU

Ia juga mengenakan kriteria baharu iaitu hanya syarikat yang majoriti sahamnya dimiliki usahawan Muslim boleh mendapat sijil MOE 2.0.

Ini bermakna usahawan Muslim mesti mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan dalam perniagaan tersebut.

Ia akan dibuktikan menerusi pendaftaran dan rekod Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat Singapura (ACRA).


Dua pembaharuan kepada sijil MOE itu dialu-alukan para peniaga seperti Cik Sarah Maha.

Syarikatnya iaitu Imaan Travel and Tours Pte Ltd sudah mendaftar bagi sijil MOE.

Menurutnya, ia dapat memberikannya kelebihan dalam berdepan dengan cabaran terbesar mereka iaitu persaingan dengan syarikat lebih besar.

"Cabaran-cabaran terbesar yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam adalah sifat berdaya saing. Di Singapura ini ada banyak agensi pelancongan dan untuk menghadapi cabaran tersebut, kami harus meningkatkan kemahiran dan daya tarikan kita seperti dalam pemasaran dan promosi," kata Cik Sarah.

Dengan itu, beliau memutuskan untuk mendaftar bagi sijil MOE untuk meningkatkan keyakinan para pelanggan.

LANCARKAN LOGO BAHARU

Di majlis pelancarannya di Wisma Geylang Serai itu, DPPMS juga mendedahkan sebuah logo baharu yang menggambarkan identiti yang lebih segar dan moden.

Dalam ucapannya, Presiden DPPMS, Abu Bakar Mohd Nor, usaha itu mencerminkan komitmen DPPMS untuk memperkasa perniagaan Melayu/Islam di sini.

"Pelancaran pensijilan yang diperbaharui ini adalah bukti komitmen kami untuk membantu mempertingkatkan penampilan, kewibawaan dan potensi pertumbuhan perusahaan milik Muslim di Singapura, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," kata Encik Abu Bakar.

Dalam masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa pensijilan itu boleh menjamin mutu yang selaras dengan nilai, budaya dan etika yang dipegang oleh masyarakat Melayu/Islam.

Sejak pelancarannya pada 2015, lebih 80 perniagaan Melayu/Islam sudah menerima sijil MOE.

USAHA PERKASA PENIAGA MUSLIM SG

DPPMS berharap pembaharuan itu akan memberikan peluang yang lebih besar untuk perusahaan-perusahaan Muslim berkembang dan berdaya saing.

"Ia juga bertujuan untuk memupuk pertumbuhan ekonomi, menggalakkan keusahawanan dan menyediakan peluang pembangunan profesional yang lebih besar, baik di pasaran tempatan mahupun antarabangsa," kongsi Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan.

Menurutnya, pensijilan itu akan membuka laluan bagi perusahaan di sini untuk berkembang sambil memberi jaminan kepada pelanggan bahawa perniagaan tersebut memenuhi nilai-nilai dan prinsip Islam.

"Bagi pemilik perniagaan, pensijilan MOE memberikan pengiktirafan yang membina reputasi kukuh, membantu menonjolkan perniagaan di pasaran yang kompetitif dan menyediakan akses ke pasaran antarabangsa.

"Bagi pelanggan, ia menawarkan jaminan kepercayaan bahawa perniagaan tersebut mematuhi nilai dan prinsip Islam, sekaligus membina keyakinan dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan," kata Dr Malik.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif pensijilan yang diperbaharui itu juga dapat memperkukuh ekosistem perniagaan Muslim secara keseluruhan.

"Pensijilan ini menyokong keperluan masyarakat dengan memperkukuhkan ekosistem perniagaan Melayu/Islam, menyediakan sokongan kepada usahawan kecil dan sederhana dan mempromosikan kepelbagaian ekonomi.

"Ia juga membantu menghubungkan perniagaan dengan peluang pembangunan dan kolaborasi yang lebih luas," tambah Dr Malik.

DPPMS sedang berusaha untuk memperkasa lebih banyak perusahaan milik Melayu/Islam dan memastikan mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk berkembang dalam persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif.

Di samping itu menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Permohonan bagi sijil MOE kini dibuka dan para peniaga yang berhasrat untuk memohon MOE boleh melakukannya menerusi lelaman ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita