DPPMS, Jawatankuasa DEWI sumbang S$25,000 kepada MIJHub
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menyumbang dana sebanyak S$25,000 untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan di MIJHub.

(Gambar: DPPMS)
Demikian menurut DPPMS dalam kenyataan media hari ini (20 Apr).
Sumbangan dana itu adalah sebahagian daripada inisiatif amal, Dewan Gives Back, yang dianjurkan oleh badan itu bersama jawatankuasa sayap wanitanya, Jawatankuasa DEWI.
Dana yang terkumpul tahun ini juga merupakan yang tertinggi sepanjang 10 tahun inisiatif amal itu dijalankan.
Pengarah Eksekutif MIJhub, Encik Muhammad Nasrul Roumat berkata sumbangan dana itu diharap akan dapat membantu para pelajar MIJhub untuk melanjutkan pendidikan mereka dan membawa kesan positif kepada kehidupan mereka.
Menurutnya lagi, terdapat 370 pelajar di MIJhub dan sepertiga daripada mereka memerlukan bantuan kewangan.
MIJHub juga mempunyai senarai menunggu yang panjang daripada para pelajar yang berhasrat untuk menyertai sekolah itu.
Menurut pengasas dan pengarah MIJHub, Faraliza Zainal, sumbangan dana itu diharap akan dapat membantu sekolah itu menerima kemasukan pelajar-pelajar baru dan menawarkan pendidikan yang diperlukan.
"Dana yang kami terima hari ini akan bantu untuk mengurangkan sedikit beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga-keluraga berpendapatan rendah dan menghantar para pendidik kami untuk menjalani lebih latihan," katanya.
Selain sumbangan derma itu, para wakil DPPMS dan Jawatankuasa DEWI turun padang ke MIJhub untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program-program yang dijalankan dan berinteraksi dengan para pelajar.
Demi mempertingkatkan usaha MIJHub dalam menyediakan khidmat pendidikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, pihak DPPMS merancang untuk menjalin lebih banyak kerjasama dengan sekolah tersebut.
Ini dari segi menghulurkan bantuan kewangan dan menghubungkan mereka dengan rakan-rakan kongsi yang relevan.
"Kami berbesar hati kerana memilih MIJhub sebagai penerima bantuan kami tahun ini, kerana kami percaya mereka layak mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan dan sokongan operasi.
"Kerjasama kami tidak berhenti setakat di sini sahaja. Selepas mengetahui lebih lanjut mengenai MIJhub, kami percaya masih ada lebih banyak yang boleh kami perjuangkan, termasuk melanjutkan pendidikan bagi kanak-kanak ini, mencabar mereka dari segi perniagaan dan bekerjasama dengan Akademi DPPMS kami dan pertubuhan lain untuk terus menambah nilai terhadap usaha mereka," kata Naib Presiden dan Pengerusi DEWI@SMCCI Fadilah Majid.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.