Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPPMS anjur SELOKAL 2023; beri usahawan tempatan peluang pamer produk dan perkhidmatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) mengadakan inisiatif yang memberi peluang kepada syarikat dan usahawan baharu untuk menampilkan produk dan khidmat masing-masing.

Acara SELOKAL 2023 di Hab Tampines Kita (OTH) yang berlangsung hari ini (9 Sep) sehingga esok memperkasa keusahawanan serta menggalakkan daya inovasi dalam kalangan peniaga Melayu tempatan.

Ia juga menyediakan platform bagi para usahawan membina rangkaian dan menjalin kerjasama.

SELOKAL 2023 menghimpunkan syarikat-syarikat pemula atau 'start-ups' serta para peniaga dari rumah (HBB) dengan mencipta pasaran dinamik untuk mempamerkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang pelbagai.

--

Di samping itu, SELOKAL juga memberi tumpuan kepada peserta program keusahawanan, Protégé Kita di mana mereka diberi peluang untuk mempamerkan dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan inovatif mereka.

Semua ini adalah sebahagian daripada dedikasi DPPMS untuk memupuk bakat tempatan dan memacu generasi peneraju perniagaan masa depan.

MASAGOS ALU-ALUKAN USAHA PUPUK SEMANGAT KEUSAHAWANAN

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli turut hadir dan sempat beramah mesra dengan para peniaga pagi tadi.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Masagos berkata beliau mengalu-alukan usaha DPPMS untuk membantu para peserta membina perniagaan mereka dengan asas yang kukuh.

"Saya gembira DPPMS giat menganjurkan inisiatif-inisiatif seperti ini untuk membantu para usahawan kita membina keupayaan perniagaan mereka. Ia juga boleh memupuk semangat keusahawanan dengan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan kita untuk maju ke depan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan kita," menurut Encik Masagos.

Beliau berkata semakin ramai usahawan kini meneroka e-dagang dan perniagaan dalam talian selepas pandemik COVID-19.

Ini membolehkan para usahawan mencari cara-cara baru untuk menyesuaikan diri dan memenuhi keperluan pengguna.

Encik Masagos berkata beliau bangga melihat usahawan-usahawan Melayu/Islam memanfaatkan teknologi untuk memastikan perniagaan mereka berkembang maju dalam ekonomi digital.

Cik Atiiqah Suhaimi antara lapan peserta Protégé Kita yang enggan terlepas peluang untuk mengambil bahagian dalam dalam acara SELOKAL.

Beliau menawarkan kelas membaca Al-Quran dipanggil 'Melodies for Daily Recitations'.

Program itu dimulakan tiga tahun lalu dan kini mempunyai lebih 300 pelajar secara online.

"Alhamdulillah daripada program Protégé Kita, kita dapat banyak peluang dalam memperdalamkan lagi pengalaman kita untuk mengetahui bagaimana untuk mengembangkan perniagaan kita dan memberikan kita rangkaian dan sumber bagaimana untuk menjadi usahawan yang berjaya.

"Kita dapat meraih manfaat dengan berjumpa dengan para mentor yang telah menjalankan perniagaan selama lebih daripada 20 tahun dan daripada situ kita mendapatkan lebih pendedahan," kongsi Cik Atiiqah kepada BERITA Mediacorp.

--

Encik Iqbal Masrawi turut meraih manfaat daripada program itu.

"Protégé Kita merangsang saya (untuk) membuat rancangan perniagaan dan memperluaskan perniagaan saya. Jadi daripada pengalaman-pengalaman usahawan yang ada, saya dapat belajar dan juga mendapatkan idea-idea yang baik daripada mereka," kata Encik Iqbal.

SELOKAL 2023 BANTU PERTINGKAT PROGRAM PROTEGE KITA

Naib Presiden DPPMS dan Pengerusi Akademi SMCCI Dr Malik Hassan berkata inisiatif SELOKAL 2023 memupuk semangat keusahawanan dalam masyarakat tempatan.

"SELOKAL adalah satu inisiatif yang untuk menolong masyarakat kita yang ingin memulakan perniagaan mereka dengan cara yang baik. SELOKAL sebenarnya datang daripada perkataan “Support local”. Dengan cara itu ia DPPMS memberi perangsang kepada peniaga-peniaga," kata beliau.

DPPMS turut bekerjasama dengan Take App.

Aplikasi itu yang memudahkan proses pengambilan pesanan di Whatsapp.

Pasaran dalam talian akan dihoskan di laman mikro Take App mulai hari ini( 9 Sep) hingga 10 Oktober 2023 dan meluaskan pengalaman SELOKAL ke ruang digital dan mewujudkan pasaran dalam talian yang dinamik bagi para penjual yang mengambil bahagian.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan