Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Wong seru masyarakat Melayu 'gotong-royong' untuk kecapi kejayaan

Seseorang itu tidak boleh mencapai kejayaan dengan sendiri tetapi memerlukan orang-orang sekililing untuk memberi inspirasi, mengajar dan memberi sokongan pada waktu-waktu memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seseorang itu tidak boleh mencapai kejayaan dengan sendiri tetapi memerlukan orang-orang sekililing untuk memberi inspirasi, mengajar dan memberi sokongan pada waktu-waktu memerlukan.

Hanya dengan bekerjasama dan menyokong satu sama lain barulah masyarakat boleh mencapai kecemerlangan.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong yang menarik perhatian kepada semangat 'gotong royong' masyarakat Melayu, dalam ucapannya di acara Anugerah Jauhari Berita Harian 2022 pada Khamis (3 Nov) di Hotel Four Seasons.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Majlis anugerah yang dianjurkan oleh akhbar tempatan Berita Harian itu mengiktiraf tiga individu - penerima Anugerah Jauhari, Profesor Madya Hadijah Rahmat, penerima Anugerah Jauhari Harapan, Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee dan penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Cikgu Yusnor Ef.

Menurut Encik Wong, kejayaan ketiga-tiga penerima anugerah itu melambangkan kejayaan masyarakat Melayu/Islam secara keseluruhan.

"Kejayaan dan kemajuan kedua-dua masyarakat dan para penerima anugerah pada malam ini semestinya tidak dapat dicapai tanpa kesungguhan, kerja keras, keinginan dan yang paling penting sekali kemahuan untuk cemerlang pada setiap individu. Saya harap anugerah seperti ini terus memberi inspirasi kepada ramai masyarakat Melayu/Islam untuk sama-sama mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang berbeza," kata Encik Wong.



Beliau juga melahirkan keyakinan, masyarakat Melayu/Islam akan terus maju sekiranya sikap saling bantu-membantu agar setiap individu maju dan berjaya terus dipupuk.

"Kita semua mempunyai pengalaman hidup yang bernilai atau kemahiran untuk dikongsi, atau kesenangan untuk membuka pintu dan mencipta lebih peluang untuk orang lain.

"Mari kita semua mainkan peranan dan menyokong satu sama lain untuk membantu setiap individu maju dan berjaya," tambahnya.

BADAN-BADAN MELAYU BANTU BANGKITKAN MASYARAKAT

Dalam pada itu, Encik Wong turut memberi contoh bagaimana pertubuhan-pertubuhan seperti MENDAKI, AMP Singapura dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), serta Berita Harian dalam usaha mereka untuk bekerjasama dengan pemerintah untuk membangkitkan masyarakat, di kesemua peringkat - pendidikan, karyawan dan perniagaan.

"Idea untuk saling menyokong dengan membantu satu sama lain maju dan berjaya bukan sesuatu yang baru. Kita sudah letakkan idea ini di dalam usaha kita untuk membantu setiap rakyat Singapura sama-sama mencapai kecemerlangan dan kejayaan," katanya.

Tambah Encik Wong, menerusi usaha kolektif pertubuhan-pertubuhan tersebut dengan pemerintah, masyarakat Melayu/Islam terus meraih kemajuan sejak bebeberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau menarik perhatian, ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan dengan lebih ramai anak Melayu yang cemerlang di sekolah dan Institut Pengajian Tinggi.

"Dalam tempoh 10 tahun lalu, kita lihat peningkatan signifikan jumlah orang Melayu dalam kalangan 10 peratus terbaik dalam peperiksaan nasional. Kita juga melihat peningkatan yang ketara dalam graduan Melayu di universiti berautonomi kita," jelasnya.

Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai penting kerana pendidikan yang baik boleh membawa kepada pekerjaan dan peluang yang lebih baik.

"Atas sebab ini juga, kita melihat pendapatan isi rumah masyarakat Melayu meningkat dengan stabil sejak tahun-tahun yang lalu," tambahnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan