DPM Wong seru badan-badan Melayu/Islam pupuk kepimpinan baharu
Timbalan Perdana Menteri (DPM) Lawrence Wong menyeru pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam agar menarik bakat demi memupuk barisan kepimpinan baru.
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri (DPM) Lawrence Wong menyeru pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam agar menarik bakat demi memupuk barisan kepimpinan baharu.
Beliau membuat seruan itu di majlis sambutan jubli berlian Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pada Jumaat (11 Ogos).
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dalam ucapannya, DPM Wong memuji usaha 4PM untuk memperkasakan golongan muda Melayu/Islam serta membantu keluarga memerlukan dan warga emas.
Tetapi lebih daripada itu, 4PM kata beliau, juga sudah membantu memupuk generasi aktivis dan pemimpin muda.
"Ini adalah penting kerana badan-badan Melayu/Islam adalah tempat latihan bagi kepimpinan Melayu. Ia menyediakan ruang untuk anggota masyarakat tampil hadapan, mengambil perhatian terhadap isu-isu yang dekat di hati mereka dan menyumbang kepada masyarakat.
"Badan-badan Melayu/Islam perlu meneruskan usaha untuk menarik bakat, memberi peluang kepada pemimpin muda untuk memikul tanggungjawab dalam peranan-peranan 'junior', dan membenarkan mereka mengambil alih kegiatan secara progresif.
Ini akan memastikan badan-badan Melayu/Islam kita sentiasa bersemangat, memudahkan idea baharu untuk menyelesaikan masalah dan membantu badan-badan Melayu/Islam menjadi lebih menarik bagi generasi baharu," kata DPM Wong yang juga Menteri Kewangan.
Beliau menambah, pemerintah juga akan terus menyokong tersebut menerusi program-program seperti Tunas Bersama M³.
RELAWAN SUMBANG TENAGA LEBIH 3 DEKAD
Kira-kira 500 tetamu termasuk para pemimpin masyarakat, penasihat 4PM serta Pesuruhjaya Tinggi Brunei hadir di majlis tersebut.
Ia turut menghimpunkan kembali para aktivis dahulu dan relawan muda 4PM.
Antara yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun bersama 4PM sebagai relawan ialah Encik Esfan Rizal Rahwon, 47 tahun.
Encik Esfan bermula sebagai pembahas Maktab Rendah Yishun pada 1993 dan telah memegang pelbagai peranan, dengan yang terkini selaku penasihat dalam panel Bahas 4PM.
"Disebabkan saya dapat bekerja dengan para belia dan interaksi saya bersama mereka, saya dapat lihat golongan belia ini berkembang dan sama-sama membawa mereka untuk terus meningkatkan semangat mereka untuk berbakti kepada 4PM," kata Encik Esfan.
SUMBANGAN 7 PERTUBUHAN DIIKTIRAF
Di acara tersebut, 4PM turut mengiktiraf sumbangan individu dan pertubuhan yang telah bekerjasama dengan badan itu dalam usaha untuk memperkasakan golongan belia dan membina masyarakat yang berjaya.
Buat julung-julung kalinya 'Anugerah Mitra Gemilang' disampaikan kepada tujuh badan pertubuhan termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Yayasan MENDAKI, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Persatuan Rakyat (PA) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain, selain mempercepatkan proses pendigitalan, pihaknya juga akan beri tumpuan kepada lebih banyak bidang untuk membantu masyarakat.
"Kami akan melebarkan sayap dengan rangkaian rakan-rakan badan bantu diri Melayu/Islam dan bukan Melayu/Islam. Contohnya, program Youth Edge, kami akan mendekati para belia kami dengan lebih dekat lagi dan melalui kerjasama M3@Bandar.
"Buat jangka masa panjang, kami mahu memantapkan kedudukan kami sebagai satu badan belia yang berteraskan kesukarelawanan di mana kami akan melakukan lebih banyak lagi inisiatif baru untuk membangunkan belia kami secara holistik," kata Encik Nassar.
APLIKASI BARU 4PM
Semasa majlis makan malam itu, sebuah aplikasi baru yang dibangunkan oleh 4PM turut dilancarkan
Aplikasi tersebut membolehkan relawan menemui, mendaftar dan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai peluang sukarelawan yang disediakan serta dan mempermudahkan pengurusan derma.
Aplikasi percuma itu juga sudah boleh dimuat turun di Google Play Store.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.