Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Wong, Pritam Singh debat kertas dasar perumahan WP 2019

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kertas kerja oleh Parti Pekerja (WP) mengenai dasar perumahan Singapura yang diterbitkan pada 2019 menjadi bahan perdebatan di Parlimen pada Jumaat (24 Feb).

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata WP mencadangkan supaya Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengurangkan pembinaan flat baru pada 2019. DPM Wong berkata WP harus mengakui bahawa ia tersilap dalam penilaiannya.

Para Anggota Parlimen WP sebaliknya berkata tafsiran Pemerintah mengenai pendirian WP berdasarkan kertas kerja 2019 itu telah diambil di luar konteks.

Isu itu berpunca daripada catatan Facebook oleh laman PAP Petir.sg pada 8 Februari, yang merujuk kepada kertas kerja WP pada 2019 mengenai harga flat jualan semula.

Menurut catatan itu, para Anggota Parlimen (AP) WP meminta pembinaan flat dikurangkan pada 2019.

"Tetapi sekarang, para AP WP mendakwa seolah-olah Pemerintah PAP kurang menganggarkan permintaan dan kurang membina flat," dakwa catatan itu.

Sejak catatan itu dimuat naik, kedua-dua pihak sudah berkali-kali menyentuh isu tersebut di platform media sosial serta forum Straits Times.

Ia dibangkitkan semula ketika Encik Wong menggulung ucapannya bagi perbahasan Belanjawan 2023 pada Jumaat (24 Feb). Beliau turut menyentuh tentang keprihatinan yang disuarkan oleh kedua-dua PAP dan WP mengenai harga hartanah yang kian meningkat.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kita dilanda pandemik yang menjejas program Bina Ikut Tempahan dan apabila bekalan terganggu dan tempoh menunggu menjadi lebih lama, orang ramai berasa cemas dan semakin ramai mula mendaftar bagi flat BTO lebih awal," kata Encik Wong sambil menambah bahawa pembeli rumah yang lain memutuskan untuk membeli flat jualan semula.

"Jika kita ... mendengar nasihat WP, kerana mereka tidak mahu memanggilnya sebagai satu saranan dan jika kita berbuat demikian dan mengurangkan pembinaan flat-flat baru dan menerima saranan mereka seterusnya iaitu membenarkan golongan bujang yang berusia bawah 35 tahun untuk membeli flat, kita akan berdepan dengan permintaan bekalan yang lebih tidak seimbang hari ini," tambah Encik Wong.

"Marilah kita menunjukkan sikap rendah diri bagi perkara ini. Apa yang berlaku tidak dapat diramalkan dan marilah kita elakkan daripada memberi pendapat hanya setelah perkara ini berlaku."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan