Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Wong: Peralihan pucuk pimpinan akan berlaku 'bila kami sudah bersedia'

DPM Wong berkata keutamaannya sekarang adalah isu-isu penting termasuk kos sara hidup dan membuat persiapan diri mengharungi ekonomi perlahan tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Wong: Peralihan pucuk pimpinan akan berlaku 'bila kami sudah bersedia'

DPM Lawrence Wong di Sidang CEO Global Forbes 2022. (Gambar: Facebook/Forbes Asia)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong memberitahu para pemimpin perniagaan global pada Isnin (26 Sep) bahawa beliau akan mengambil alih pucuk kepimpinan daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong apabila beliau serta pasukan generasi keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP) "sudah bersedia".

Buat masa ini, Encik Wong, yang dijangka bakal menggantikan PM Lee, berkata keutamaannya adalah memberi tumpuan kepada isu-isu penting yang dihadapi Singapura, sesuatu yang "memakan masa".

Menurutnya isu-isu tersebut berkaitan kos sara hidup, mempersiapkan diri bagi ekonomi yang perlahan tahun depan serta memastikan Singapura mengharungi pandemik dengan berjaya.

DPM Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian semasa sesi dialog di Sidang CEO Global Forbes lewat malam Isnin.

Beliau menjawab soalan Encik Rich Karlgaard, ketua editor di Forbes Media, menegenai hubungannya dengan PM Lee dan sama ada mereka sudah membincangkan isu peralihan pucuk kepimpinan, dan bila ia dijangka berlaku.

Selain soalan tentang pucuk kepimpinan, dialog itu juga meliputi soalan-soalan berkaitan ekonomi Singapura, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dengan China dan hubungan Singapura dengan negara-negara ASEAN.
Sekitar 400 pemimpin perniagaan dijangka menghadiri sidang dua hari itu, yang bermula pada Isnin.

Berhubung soalan Encik Larkgaard tentang peralihan pucuk kepimpinan, Encik Wong berkata: "Kami tetap memikirkan tentang peralihan itu dan masa yang sesuai baginya. Perdana Menteri sudah berkata beliau mahukan ia diadakan tidak lama lagi, dan beliau sering mengingatkan saya ia sesuatu yang beliau fikirkan."

"Tetapi saya juga sudah mengatakan bahawa kami akan melakukannya pada masa apabila kami sudah bersedia. Bila saya sudah bersedia, dan saya yakin pasukan saya bersedia, saya akan memaklumkan kepada beliau dan kami tentu sekali akan memberitahu rakyat Singapura juga."

Berhubung masa yang tepat bagi peralihan itu, Encik Wong berkata ia bukan sesuatu yang boleh dijawab, kerana beliau mahupun PM Lee belum membuat sebarang keputusan.

Mengenai hubungannya dengan PM Lee, Encik Wong menyifatkannya sebagai baik.

"Kami sudah bekerja bersama. Saya sebagai setiausaha sulit utamanya (antara Mei 2005 dan Ogos 2008), dan kemudiannya sebagai rakan sekerjanya dalam Kabinet selepas saya menyertai politik pada 2011,” kata Encik Wong.

Menjawab soalan seorang peserta tentang legasi yang ingin beliau tinggalkan, Encik Wong berkata "anda tidak melakukan satu-satu pekerjaan itu dengan memikirkan legasi yang akan ditinggalkan".

Namun Encik Wong berkata setiap pemimpin mempunyai gaya dan pendekatan tersendiri yang "disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan masyarakat atau pertubuhan pada masa itu".

"Bagi saya sendiri, saya yakin saya di sini, bukan sahaja untuk memimpin tetapi juga untuk berkhidmat," kata Encik Wong.

"Dan saya melihat diri saya sebagai pemimpin yang berkhidmat, melakukan yang terbaik demi Singapura dan rakyatnya."

"Saya pasti semua yang berada di sini mahu memastikan kemewahan anda berterusan lebih daripada tiga generasi dan kami di Singapura mahu Singapura berjaya menjangkaui tiga generasi.

"Kami mahu membangunkan Singapura yang dapat bertahan dan makmur bagi generasi-generasi akan datang," kata beliau.

"Saya harap dapat lakukannya."
Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan