Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Wong lancar agenda Melakar Hala Tuju Singapura untuk 'semak dan perbaharui' kompak sosial negara

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Jun 2022 06:06PM Dikemas Kini : 28 Jun 2022 09:20PM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Selasa (28 Jun) melancarkan satu pelan hala tuju selama setahun yang akan "menyemak dan menyuntik kesegaran dalam kompak sosial Singapura".

Dikenali sebagai agenda Melakar Hala Tuju Singapura, usaha tersebut akan dipimpin Encik Wong dan pasukan pemimpin generasi keempat 4G. Ia akan "melakarkan pelan hala tuju negara bagi dekad akan datang dan seterusnya", menurut Pemerintah dalam satu kenyataan media berasingan.

"Kompak sosial adalah satu pemahaman bersama mengenai bagaimana kita semua dalam sebuah masyarakat boleh berhubungan antara satu sama lain. Ia mengenai peranan dan tanggungjawab pelbagai kumpulan yang berbeza," kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

"Apa yang harus Pemerintah, majikan dan masyarakat lakukan untuk pekerja dan individu? Apakah kewajipan kita sebagai individu terhadap satu sama lain dan kepada masyarakat am?" tambah beliau.

"Kompak sosial yang dianggap sebagai adil bagi semua lapisan masyarakat akan mengukuhkan modal sosial dan memupuk kepercayaan. Ini akan membolehkan kita maju sebagai sebuah negara.

"Inilah sebab mengapa amat sangat penting untuk menyuntik kesegaran dan mengemas kini kompak sosial kita supaya ia kekal sesuai dalam konteks dan keadaan yang berubah-ubah."

Menerusi agenda Melakar Hala Tuju Singapura, kepimpinan 4G akan "bekerjasama dengan rakyat Singapura" untuk meneroka cara memastikan peluang lebih besar buat semua serta memberikan jaminan dan penjagaan lebih baik bagi rakyat Singapura, tambah kenyataan media itu.

Gerakan itu juga akan meneroka cara untuk mengurus sumber yang dikongsi untuk menjana pemilikan dan tanggungjawab bersama merangkumi seluruh masyarakat, tambah kenyataan media itu.

Agenda itu akan dibina atas idea yang dikumpul menerusi sesi pelibatan lain dalam beberapa tahun sebelum ini termasuk siri Perbincangan Bangkit Lebih Kukuh Bersama dan Perbualan mengenai Pembangunan Wanita.

Ia akan dianjurkan mengikut enam teras iaitu, ekonomi dan pekerjaan, pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan dan sokongan sosial, rumah dan persekitaran tempat tinggal, alam sekitar dan kemampanan fiskal serta identiti Singapura, setiap-satu diterajui pemimpin 4G.1

Melakar Hala Tuju Singapura akan menjadi agenda sepanjang satu tahun dengan sebuah laporan akan diterbitkan pada pertengahan 2023 di akhir latihan tersebut, menurut Pemerintah dalam kenyataan medianya.

"Laporan itu akan menetapkan cadangan dasar untuk menyokong kompak sosial yang diperbaharui dan bagaimana segmen yang berbeza dalam masyarakat boleh lebih melibatkan diri dalam menyumbang ke arah matlamat bersama negara," tulis kenyataan media tersebut.

Singapura berada di satu persimpangan kata Encik Wong, sedang negara ini menghadapi pelbagai cabaran baik dari dalam mahupun luar negara seperti kenaikan kadar inflasi, pergolakan geopolitik dan keadaan penduduk tempatan yang kian menua.

Seandainya kompak sosial Singapura gagal, sebahagian besar rakyat Singapura akan rasa terasing daripada masyarakat lain. Kepercayaan terhadap Pemerintah dan segmen lain dalam masyarakat juga akan semakin merosot, kata DPM Wong.

"Kita akan menjadi masyarakat yang kurang mempercayai satu sama lain, seperti kebanyakan penduduk lain di Asia dan Eropah. Dan jika ini berlaku Singapura, pasti akan retak."

Menerusi agenda Melakar Hala Tuju Singapura, pasukan 4G berharap untuk mengesahkan nilai asas, mengkaji semula prinsip-prinsip, keutamaan dan dasar-dasar negara, kata Encik Wong.

"Saya berharap untuk melihat sebuah masyarakat dan sistem yang memberi manfaat kepada ramai, bukan sedikit, yang memberi ganjaran kepada pelbagai jenis bakat, bukan sebilangan kecil yang konvensional atau sempit, yang menghargai dan meraikan semua individu atas dasar siapa mereka dan apa yang boleh mereka capai, dan menyediakan semua peluang untuk melakukan yang lebih baik sepanjang hidup mereka."

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan