Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Tharman: S'pura masih boleh catat prestasi baik meski ekonomi global suram

Singapura masih boleh mencatat prestasi baik di tengah-tengah cabaran ekonomi global, dengan mendidik generasi mudanya, membantu mereka yang hilang pekerjaan untuk meningkatkan kemahiran, dan memperkukuhkan keupayaan daya inovatif perusahaan-perusahaan tempatan, kata Tharman Shanmugaratnam. 

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Tharman: S'pura masih boleh catat prestasi baik meski ekonomi global suram

Timbalan Perdana Menteri Singapura Tharman Shanmugaratnam. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 26 Jan 2019 08:50AM Dikemas Kini : 26 Jan 2019 08:51AM

DAVOS-KLOSTERS: Singapura masih boleh mencatat prestasi baik di tengah-tengah cabaran ekonomi global, dengan mendidik generasi mudanya, membantu mereka yang hilang pekerjaan untuk meningkatkan kemahiran, dan memperkukuhkan keupayaan daya inovatif perusahaan-perusahaan tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.

Menerusi satu catatan Facebook pada Jumaat (25 Jan), Encik Tharman berkata Singapura juga boleh mengukuhkan kedudukan dan kewibawaan negara ini dalam kalangan negara-negara dan syarikat-syarikat global - yang beliau sifatkan sebagai aset terbesar Singapura di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak pernah berasa tidak berdaya. Jika kita terus membina kemahiran dan keupayaan kita, dan dunia yakin dengan Singapura, kita mampu berdaya tahan meskipun dunia dibelenggu dengan pelbagai cabaran," tulis beliau.

Encik Tharman menulis catatan Facebook itu bagi mengulas tentang ekonomi dunia dan Singapura selepas menghadiri lebih 30 mesyuarat, sempena lawatan empat harinya ke Davos bagi Forum Ekonomi Dunia.

Beliau berkata, ramalan ekonomi tetap sugul, sedang kuasa-kuasa besar dunia kini semakin tidak bersepakat sejak berakhirnya Perang Dingin, 30 tahun yang lalu.

"Perang dagang Amerika-China, sering diperkatakan sekarang. Ia satu isyarat timbulnya masalah-masalah yang kian rumit dan berlarutan," tambah Encik Tharman.

"Hakikatnya, wujud persaingan dalam bidang teknologi pada masa kini. Dan prospek dunia yang terbahagi kepada blok-blok teknologi yang berbeza-beza akan menjejas inovasi dan pertumbuhan."

Namun, Encik Tharman berkata, selain masalah perdagangan dan persaingan, cabaran terbesar terletak pada negara-negara sendiri, sambil menambah bahawa ada pihak yang enggan bekerjasama di negara-negara maju yang memacu (ekonomi) dunia, kecuali Jepun.

Encik Tharman selanjutnya berkata, isu tidak sepakat di peringkat antarabangsa sulit untuk diatasi selagi isu yang sama di peringkat domestik dan hilang kepercayaan terhadap para pemimpin politik tidak dapat dipulihkan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan