Skip to main content

Singapura

DPM Teo: Masyarakat S'pura harus tolak pandangan yang sekat interaksi antara kaum & agama

DPM Teo juga menekankan peranan penting yang dilakukan kumpulan seperti RRG dalam membantu membanteras radikalisme. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jun 2018 08:59PM Dikemas Kini : 07 Jun 2018 01:16PM

SINGAPURA: Masyarakat di Singapura harus menolak pandangan-pandangan yang menyekat interaksi antara kaum dan agama, serta yang "memecahbelahkan kita sebagai masyarakat".

Demikian ditekankan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, semasa berucap di majlis iftar tahunan anjuran Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) hari ini (6 Jun).

Dalam ucapannya di hadapan para asatizah dan pemimpin Melayu/Islam, DPM Teo melahirkan rasa kagum terhadap pendekatan terbuka oleh Imam Besar Al-Azhar Sheikh Dr Ahmed Al-Tayyeb yang beliau temui semasa tokoh Sunni itu berkunjung ke Singapura bulan lalu.

DPM Teo berkata, Sheikh Al-Tayyeb berpandangan bahawa umat Islam harus hidup dan berkembang maju dalam sekitaran pelbagai agama.

Tambah DPM Teo, tokoh Mesir itu menceritakan pengalaman-pengalaman di Mesir dan juga teladan dari sejarah, bahawa "interaksi antara umat Islam dengan masyarakat lain boleh berlaku secara praktikal".

Ini termasuk bersalaman dan mengucap selamat kepada penganut agama lain semasa cuti sambutan perayaan keagamaan.

IKTIBAR KETERBUKAAN IMAM BESAR AL-AZHAR

"Sebagai contoh, beliau sentiasa memastikan mengucapkan selamat kepada penganut agama Kristian semasa mereka menyambut perayaan Kristian.

"Saya dapati penjelasan beliau penuh pencerahan dan memberi manfaat kepada masyarakat berbilang agama seperti Singapura di mana semua masyarakat boleh makan bersama-sama, melawat antara satu sama lain dan berkongsi kegembiraan dan kesedihan kita bersama-sama," kata DPM Teo yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

"Kita harus menolak pendangan yang mengehadkan interaksi kita dan memecahbelahkan kita sebagai masyarakat," tekan DPM Teo lagi.

Beliau juga menekankan peranan penting yang dilakukan kumpulan seperti RRG dalam membantu membanteras radikalisme.

Related article image
DPM Teo di majlis iftar RRG (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

Mentelah lagi rantau ini terus diancam keganasan dan radikalisasi seperti siri pengeboman di Indonesia beberapa minggu lalu.

MHA kata beliau terus mengesan individu yang menjadi radikal.

Lantaran itu, masyarakat perlu terus berwaspada dan meningkatkan daya ketahanannya, tegas DPM Teo.

Acara iftar di Masjid Khadijah dihadiri seramai 100 tetamu termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan mantan menteri, Dr Yaacob Ibrahim.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita