Skip to main content

Singapura

DPM Teo: Kepimpinan S'pura tidak boleh 'menua', perlu ada pembaharuan dan kesegaran

Para penduduk Singapura mungkin semakin tua tetapi para pemimpinnya harus kekal segar dan bertenaga.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jan 2018 07:29PM Dikemas Kini : 23 Jan 2018 12:25AM

SINGAPURA: Para penduduk Singapura mungkin semakin tua tetapi para pemimpinnya harus kekal segar dan bertenaga.

Demikian menurut Pemangku Perdana Menteri Teo Chee Hean di Persidangan Perspektif Institut Pengajian Dasar 2018, petang tadi (22 Jan).

Beliau berkata demikian bagi menjawab satu soalan sama ada mungkin akan ada perwakilan lebih besar golongan lebih tua dalam kabinet dan Perkhidmatan Awam.

Encik Teo berkata meskipun Singapura menjadi semakin matang dan para penduduknya semakin tua, pembaharuan kepimpinan adalah perlu.

Menurut beliau, kita memerlukan kesegaran dan tenaga untuk menangani cabaran dunia.

Tambah Encik Teo lagi, beliau tidak mahu seluruh negara tergugat dek kesihatan sekumpulan orang yang sudah semakin tua tahun demi tahun.

Bagaimanapun generasi pemimpin seterusnya, kata Encik Teo, harus memanfaatkan pengalaman para menteri kanan. Kehadiran para menteri kanan dalam kabinet berguna.

Menurut Encik Teo lagi, Singapura unik kerana ada mantan perdana menteri dalam kabinet.

SKIM-SKIM SELARAS DENGAN KEPERLUAN MASYARAKAT YANG MENUA

Encik Teo turut menarik perhatian tentang bagaimana Singapura kini mempunyai semakin ramai warga tua berbanding negara-negara lain.

Negara ini kini mempunyai sekitar 500,000 warga tua berusia 65 tahun ke atas.

Jumlah itu dijangka naik seganda kepada kira-kira 900,000 menjelang tahun 2030.

Untuk membantu warga tua menangani cabaran masa depan yang tidak menentu, Encik Teo merujuk kepada skim-skim insuran CPF Life dan MediShield Life.

Skim-skim tersebut menurutnya adalah program berkongsi risiko sosial kebangsaan yang perlu bagi perbelanjaan jagaan kesihatan.

"Pertambahan jumlah warga tua menjelang 2030 bermakna subsidi yang ditawarkan dari belanjawan pemerintah bagi jagaan kesihatan akan naik dengan banyaknya. Kami jangkakan belanjawan kesihatan mungkin mengatasi pendidikan dalam belanjawan negara, dalam tahun-tahun mendatang," kata Encik Teo.  

Sumber : CNA/AA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita