DPM Lawrence Wong sampaikan kenyataan Belanjawan 2023 pada 14 Feb, jam 3.30 petang
Gambar: Raj Nadarajan/TODAY
SINGAPURA: Kenyataan Belanjawan 2023 akan disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong di Parlimen pada 14 Februari, pukul 3.30 petang.
Kenyataan Belanjawan itu akan disiarkan secara langsung di Saluran 5, CNA, CNA938, Capital 958, laman web, YouTube serta Facebook CNA, 8 World News, YouTube dan Facebook 8 World News serta khidmat interaktif MeWatch Mediacorp.
Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf) juga akan menyediakan alih bahasa isyarat kenyataan Belanjawan itu di Saluran 5.
Kemas kini pengumuman utama daripada ucapan itu akan dimuat naik pada masa nyata ke halaman Facebook serta akaun-akaun Instagram dan Twitter Kementerian Kewangan (MOF). Kemas kini mengenai kenyataan Belanjawan tersebut juga akan disediakan di saluran telegram kementerian tersebut.
Orang ramai boleh melayari laman MOF dan melanggani laman itu bagi mendapatkan kenyataan penuh Belanjawan melalui e-mel selepas ia disampaikan. Khidmat tersebut akan tersedia bagi pendaftaran sehingga pukul 9.00 pagi pada 14 Februari.
MAKLUM BALAS KENYATAAN BELANJAWAN 2023
MOF dan pelbagai agensi pemerintah, termasuk REACH serta Persatuan Rakyat (PA) sudahpun mendampingi orang awam menjelang pembentangan Belanjawan 2023 sejak Disember tahun lalu.
Menyusuli penyampaian kenyataan, masyarakat awam boleh menghantar pandangan mereka mengenai Belanjawan tersebut menerusi pelbagai saluran maklum balas.
Ini termasuk laman Belanjawan Singapura, laman Belanjawan REACH, laman Facebook REACH Singapore serta akaun Instagram REACH Singapore.
REACH juga akan mengadakan dua perbincangan Belanjawan secara fizikal pada 17 dan 20 Februari - masing-masing dalam bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.
Menteri Negara Kanan Kewangan merangkap Pengangkutan Chee Hong Tat dan pengerusi REACH Tan Kiat How akan hadir bagi sesi dalam bahasa Inggeris.
Manakala, timbalan pengerusi REACH Eric Chua pula akan hadir untuk sesi dalam bahasa Mandarin.
Di samping itu, REACH akan menganjurkan satu siri rancangan perbualan di radio dan satu episod podcast, yang akan membawakan perbincangan para anggota panel penasihat REACH mengenai keprihatinan berhubung Belanjawan 2023.
Pondok-pondok untuk mengumpul maklum balas juga akan disediakan di "tempat-tempat dengan aliran pergerakan orang awam yang tinggi" di merata negara bagi mengumpul pandangan berhubung Belanjawan.
Butiran mengenai pondok-pondok maklum balas ini boleh didapatkan di laman Belanjawan REACH. Anggota masyarakat juga boleh berkongsi maklum balas mereka menerusi laman mikro Belanjawan 2023 REACH.
PA dan pertubuhan akar umbinya akan menganjurkan dialog pasca Belanjawan untuk mendampingi penduduk mengenai langkah-langkah Belanjawan 2023.
Para penduduk yang berminat boleh mendaftarkan diri di go.gov.sg/postbudget23 sehingga jam 2.00 petang pada 28 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.