Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Lawrence Wong puji & hargai pengorbanan masyarakat Melayu/Islam harungi kesan pandemik dan konflik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menghayati erti pengorbanan boleh menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan dan bangkit lebih kukuh daripada pelbagai cabaran yang dihadapi negara. 

Ini termasuk pandemik dan wabak penyakit serta konflik yang menyebabkan harga barangan melambung tinggi. 

Melihat segala pengorbanan yang dilakukan masyarakat Melayu/Islam sepanjang dua tahun kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong meluahkan penghargaannya dan memuji ketahanan masyarakat mengharungi segala ujian. 

"Saya sangat berbesar hati kerana dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, mereka menggalas tanggungjawab untuk menjaga satu sama lain dan mencerminkan semangat kasih sayang, bermurah hati dan bergotong-royong dan saya fikir jika kita semua mempamerkan semangat perpaduan yang sama dan saling menjaga satu sama lain, kita akan dapat mengharungi cabaran akan datang," kata Encik Wong. 

"Saya puji masyarakat Melayu/Islam kerana telah memainkan peranan dalam menjaga satu sama lain dan ini sebenarnya relevan kepada kita semua di Singapura dalam menangani cabaran dan kesan peperangan serta COVID-19," tambah beliau. 

Menurut beliau lagi, pemerintah juga memainkan peranan dan bekerja keras untuk menangani dan mengatasi kesan tersebut. 

Bagi warga Singapura secara amnya pula, Encik Wong juga menyanjungi segala pengorbanan yang dilakukan mereka dalam membantu negara melawan COVID-19. 

"Mereka mengorbankan banyak masa peribadi mereka, masa dengan keluarga, bekerja sepanjang masa untuk sama ada menjaga warga Singapura yang lain atau melakukan banyak perkara, sama ada di dormitori, kemudahan penjagaan dan hospital atau di pusat imigresen juga," ujarnya lagi. 

Encik Wong meluahkan penghargaannya itu ketika ditemui para wartawan di Masjid Ar-Raudhah di mana beliau menyantuni para jemaah yang menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid yang terletak di Bukit Batok itu.

Sekitar 1,700 orang jemaah memenuhi ruang-ruang masjid dalam sesi kedua solat sunat itu. 

Melihat ukhuwah yang erat lagi padu dalam kalangan para jemaah, Encik Wong berpendapat semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat sangat penting lebih-lebih lagi dalam masa-masa sukar seperti sekarang ini. 

"Kita perlu membuat penyesuaian pada rutin dan amalan harian kita. Kita terus melakukan pengorbanan ini lebih-lebih lagi untuk tangani kesan peperangan Rusia-Ukraine dan kenaikan harga bekalan tenaga dan makanan yang menjejas kita semua di Singapura," tambah beliau. 

Dalam pada itu, Encik Wong juga tumpang gembira melihat masyarakat Muslim setempat dapat kembali menunaikan ibadah haji tahun ini selepas dua tahun. 

"Saya ucapkan kepada kesemua yang menunaikan haji (tahun ini) agar mereka selamat di sana dan selamat kembali ke Singapura. Pada waktu begini juga, ia mengingatkan kita kepada kepentingan pengorbanan dan menjaga mereka yang lebih memerlukan dalam kalangan kita," kata Encik Wong. 

Selain beramah mesra dengan para jemaah, Encik Wong yang turut diiringi oleh Anggota Parlimen Bukit Batok, Murali Pillai juga dibawa pihak pengurusan masjid untuk melawat dan meninjau-ninjau bahagian-bahagian tertentu bangunan yang didirikan pada 1993 itu.  

Encik Wong juga memuji usaha sukarelawan dan kakitangan masjid dalam memastikan peraturan dan langkah-langkah keselamatan sentiasa dipatuhi jemaah kerana perjuangan menentang pandemik COVID-19 masih belum berakhir. 

Kunjungan beliau ini juga merupakan sebahagian usahanya untuk mendampingi masyarakat Melayu/Islam dengan lebih dekat lagi sejak beliau memegang peranan baru selaku Timbalan Perdana Menteri. 

Beliau juga merancang untuk mengadakan lebih banyak pertemuan dengan masyarakat Melayu/Islam serta para pemimpin masyarakat dalam masa terdekat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan