Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Lawrence Wong bentang 5 peralihan utama pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Apr 2023 07:21PM Dikemas Kini : 17 Apr 2023 08:36PM
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong memberitahu Parlimen, pasukannya tidak akan secara membuta tuli meniru model-model negara lain dalam soal pemerintahan.

Sebaliknya pendekatan beliau ialah untuk sentiasa dekat kepada warga yang lebih meluas dan ia tidak boleh disifatkan sebagai berhaluan kiri atau kanan dalam spektrum politik tradisional.

DPM Wong menekankan pemerintahnya akan melakukan lebih banyak lagi usaha demi memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial.

Pada masa yang sama, ia juga akan memastikan beban cukai bagi golongan berpendapatan pertengahan kekal rendah.

Encik Wong berucap demikian semasa membahaskan Amanat Presiden yang menggariskan keutamaan pemerintah bagi baki penggal lima tahun sekarang.

DPM Wong yang juga Menteri Kewangan membentangkan lima peralihan utama dalam pendekatan pemerintah, sebagai sebahagian daripada pembaharuan kompak sosial.

Pertama ialah menjadikan pembelajaran berterusan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran sebagai satu cara hidup.

Kedua, meningkatkan prospek gaji dan kerjaya bagi pelbagai kerjaya seperti juru elektrik dan tukang paip.

Ketiga, dalam menjaga golongan lemah, DPM Wong berkata satu caranya ialah menawarkan lebih banyak sokongan.

Contohnya, skim pengambilan semula pekerjaan yang disasarkan kepada mereka yang diberhentikan dan terus mencari kerja.

Keempat, bagi warga emas, selain meningkatkan prasarana fizikal seperti pusat-pusat penuaan aktif dan apartmen jagaan masyarakat, pemerintah juga mahu meningkatkan pelbagai skim CPF demi membantu warga emas memenuhi keperluan persaraan mereka.

Akhir sekali, DPM Wong mengajak rakyat Singapura supaya bersatu untuk menjadikan semua matlamat baru itu satu kenyataan.

Contohnya, menerusi kesukarelawanan dan kedermawanan, atau dengan menjadi rakan kongsi pemerintah dalam melakar dasar.

Beliau menekankan bahawa pemerintah akan memainkan peranannya dalam mengupayakan semua itu menerusi dasar-dasar makroekonomi.

"Kami akan terus kekalkan pertumbuhan sebenar pendapatan bagi golongan pertengahan. Inilah sebabnya pertumbuhan ekonomi tidak boleh kami kompromi. Kadar pertumbuhan kita akan perlahan-lahan menurun sedang tenaga buruh kita berkembang secara beransur-ansur. Tetapi pertumbuhan kekal penting. Jika kita tidak kembangkan ekonomi, pekerjaan akan berkurangan dan skop lebih kecil untuk sokongan sosial.
Jadi, jangan salah anggap. Pemerintah ini akan dan mesti selalu bersikap pro pertumbuhan dan pro inklusif. Menjamin persaingan ekonomi kita akan menjadi lebih penting, bukan kurang, dalam fasa Singapura seterusnya. Ini tanggungjawab kita semua, pasukan saya: Kami akan mewujudkan pekerjaan dan masa depan yang baik untuk semua rakyat Singapura," kata DPM Wong.

Encik Wong menambah, tunjang pendekatan pemerintahan pasukannya adalah etika penting usaha individu, serta tanggungjawab peribadi dan keluarga.

Dasar-dasar beliau akan mengukuhkan lagi tanggungjawab kolektif dan individu - bukan menolaknya.

"Kami mahu tindakan pemerintah menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelibatan anggota masyarakat yang lain - majikan, kesatuan, kumpulan masyarakat dan pertubuhan bukan pemerintah.
Barulah kita semua boleh lakukan peranan kita secara kolektif untuk menangani ketidaksamarataan, menjana mobiliti sosial dan mahu ke hadapan bersama-sama," ujar DPM Wong.
 
Sumber : CNA/DY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan