Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng Swee Keat usul 3 idea untuk S'pura raih masa depan lebih mampan

Masa depan yang mampan di peringkat global boleh dicapai dengan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, sambil memperkasakan setiap segmen masyarakat dan membangunkan bakat generasi seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jun 2019 02:20PM Dikemas Kini : 07 Jun 2019 09:19PM

SINGAPURA: Masa depan yang mampan di peringkat global boleh dicapai dengan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, sambil memperkasakan setiap segmen masyarakat dan membangunkan bakat generasi seterusnya.

Ini menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa berucap di Forum FutureChina Global pada Jumaat (7 Jun) yang diadakan sebagai sebahagian daripada Persidangan Ecosperity 2019.

"Dunia sedang berdepan dengan cabaran-cabaran sengit, khususnya dari segi pembangunan mampan," kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

"Jika tidak ditangani dengan sewajarnya, cabaran-cabaran ini berpotensi menghambat kemajuan global yang diraih sejak berpuluh-puluh tahun lalu."

Bertindak terhadap perubahan iklim sambil memburu pertumbuhan ekonomi adalah bidang-bidang yang memerlukan lebih banyak perhatian dan usaha.

MASA HADAPAN LEBIH MAMPAN MENERUSI 3 CARA

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga cara yang boleh diusahakan untuk mengecapi masa hadapan yang lebih mampan.

Pertama, kerjasama dan perkongsian di peringkat antarabangsa perlu dipertingkatkan.

"Kerjasama dalam kalangan negara dan bandar akan membantu kita untuk mengukuhkan ketersambungan dan meraih pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan prasarana yang lebih mampan dalam jangka panjang," kata Encik Heng.

Beliau turut menarik perhatian kepada China - negara dengan jumlah penduduk yang paling ramai di dunia yang kemajuannya mempunyai kesan yang sungguh ketara terhadap sekitaran global - dan negara itu sudah melakukan banyak 'usaha serius' untuk mencapai pembangunan mampan.

Salah satu daripadanya ialah pembangunan di Guangdong-Hong Kong-Macao Greater Bay Area (GBA).

"Selain sasaran untuk menjadi sebuah hab inovasi global, GBA juga sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai tempat yang bermutu untuk didiami dan bekerja dan ini dilakukan melalui inisiatif-inisiatif seperti melaksanakan model pembangunan berkarbon rendah yang inovatif dan mesra alam. Pemerintah China juga memberikan lebih banyak tumpuan dan penekanan kepada pemuliharaan sumber dan perlindungan alam sekitar," menurut Encik Heng.

Dengan ini, ia menawarkan banyak peluang baru kepada firma-firma perusahaan. Singapura yang menubuhkan sebuah agensi baru, Infrastructure Asia, pada tahun lalu, juga boleh bekerjasama dengan GBA dalam bidang pembangunan prasarana baru.

"Projek-projek prasarana lebih bersifat jangka panjang dan banyak memerlukan modal," dedah Encik Heng. "Kita perlu merancang dan menstruktur projek-projek ini dengan betul bagi memastikan sumber-sumber dimanfaatkan dengan cekap dan kesannya dari segi ekonomi dan sosial pula, ketara dalam jangka panjang."

Maka itu, kerjasama yang kukuh perlu dijalin antara negara-negara dunia. Satu daripadanya ialah Perjanjian Paris, yang memastikan negara-negara anggota mengikrarkan komitmen untuk mengambil tindakan tegas bagi menangani perubahan iklim.

Kedua, semua segmen masyarakat - pemerintah, perusahaan dan individu perlu diperkasakan.

"Pemerintah secara bersendirian tidak boleh mencapai pembangunan mampan," tegas Encik Heng.

Encik Heng turut merujuk kepada langkah-langkah yang diambil Singapura untuk merangsang sektor swasta dan menggalak mereka untuk merebut peluang-peluang pertumbuhan hijau.

Ini termasuk memperuntukkan S$900 juta melalui Rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2020 di bawah naungan Pelan Huraian dan Bandar Mampan.

"Kami merancang untuk bekerjasama dengan para pemimpin daripada bidang-bidang ini dari merata dunia," kata Encik Heng.

"Kami mengalu-alukan syarikat-syarikat untuk menyertai usaha R&D ini (kajian dan pengembangan), memanfaatkan rangkaian R&D Singapura dan kepakaran negara ini untuk mewujudkan pengetahuan dan huraian baru dalam bidang-bidang seperti kebingkasan makanan, air, tenaga dan pengurusan tanah.

Singapura juga sudah menguatkuasakan cukai karbon pada tahun ini yang bermatlamat untuk menyampaikan isyarat yang jelas kepada syarikat-syarikat supaya mengurangkan pengeluaran karbon dan pelbagai insentif diperkenalkan bagi menggalak mereka supaya melakukannya dengan cara yang berkesan dan menjimatkan," kata Encik Heng.

Sebagai contoh, bagi menggalak syarikat-syarikat perusahaan supaya terus menggunakan tenaga dengan cara yang berkesan dan menjimatkan, pemerintah menawarkan sokongan dalam bentuk geran yang lebih tinggi.

Para individu juga berperanan untuk mencapai matlamat ini, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa Singapura sudah menetapkan 2019 sebagai "Tahun Tanpa Sisa".

"Kami melaksanakan pendekatan ekonomi yang menyeluruh bagi memastikan sumber-sumber kita dapat terus dimanfaatkan bagi tempoh yang panjang dan sasarannya adalah bagi memastikan kita menjadi sebuah Negara Tanpa Sisa."

Akhir sekali, pembangunan bakat dan pemimpin seterusnya.

Semasa berucap kepada para pemimpin perniagaan yang menghadiri forum tersebut, Encik Heng berkata: "Kita perlu mengimbangi keperluan jangka pendek dengan keperluan jangka panjang. Membangunkan pemimpin seterusnya penting kepada usaha ini," tegas Encik Heng.

"Kita perlu terus menerapkan dalam kalangan pemimpin muda tentang peri pentingnya mengongsi tanggungjawab bagi mencapai pembangunan mampan."

PELIBATAN GENERASI MUDA

Beliau turut menarik perhatian bahawa generasi muda semakin menyedari dan prihatin terhadap betapa pentingnya pembangunan yang mampan.

"Dengan pelibatan belia, kita boleh menjangkakan lebih banyak tenaga, daya inovasi dan sikap optimis," kata beliau lagi.

"Ini akan membentuk asas untuk merangsang sumbangan yang positif daripada para pemimpin muda untuk menyahut dan mengharungi cabaran-cabaran baru dan menyumbang kepada pembangunan mampan." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan