Skip to main content

Singapura

DPM Heng: Setiap negara perlu bersedia harungi pesatnya perubahan teknologi

Ekonomi global yang berubah-ubah, kemajuan pesat teknologi dan mempersiapkan orang ramai bagi perubahan-perubahan ini pada masa depan adalah tiga cabaran yang perlu ditangani semua di dunia, termasuk Singapura. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Sep 2019 10:40PM Dikemas Kini : 06 Sep 2019 10:51PM

SINGAPURA: Ekonomi global yang berubah-ubah, kemajuan pesat teknologi dan mempersiapkan orang ramai bagi perubahan-perubahan ini pada masa depan adalah tiga cabaran yang perlu ditangani semua di dunia, termasuk Singapura. Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (6 Sep).

Berucap di Sidang Puncak Kepimpinan HT-MintAsia, Encik Heng berkongsi pandangannya tentang struktur ekonomi global yang berubah-ubah dan bagaimana setiap pasaran akan cuba mencapai kemajuan serta mengembangkan ekonomi masing-masing untuk mempertingkatkan lagi kehidupan orang ramai.

Beliau menarik perhatian, lebih banyak negara kelihatan seolah-olah terpesong daripada sistem ekonomi global dan lebih memilih untuk melindungi ekonomi sendiri. Namun, masih ada "nilai sangat kukuh" bagi sistem perdagangan berbilang hala agar mereka boleh menangani pelbagai isu secara bersama.

Pada peringkat ekonomi, Encik Heng, yang juga merupakan Menteri Kewangan menjelaskan, terdapat banyak syarikat dengan nilai pasaran lebih $1 bilion (unicorn) atau lebih kerana skala operasi mereka.

"Saya harap dunia akan mengalu-alukan skala ekonomi yang luas kerana ia akan membantu kita menjana lebih banyak sumber yang masih sangat diperlukan," katanya.

Ia juga bukan hanya tentang pertumbuhan ekonomi.

DPM Heng menambah, banyak cabaran global hari ini, seperti perubahan iklim, perlu ditangani pada peringkat global, sambil mengulangi mesej Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang dikongsi semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan bulan lalu.

TSUNAMI TEKNOLOGI

Cabaran kedua yang diketengahkan Encik Heng adalah bagaimana perkembangan teknologi dan penggabungan teknologi-teknologi berbeza, sedang merubah industri-industri masa kini.

Beliau menyebut Funan DigitaLife Mall sebagai contoh, sambil berkata pusat beli-belah itu menjadi tempat tujuannya untuk membeli komputer semasa beliau masih lagi seorang pelajar.

"Tetapi sekarang, tiada yang membeli komputer dengan cara itu, bukan? Anda membelinya online, dan mendapatkan pelbagai diskaun. Barangan dipesan pula dihantar ke rumah," katanya.

Maka itu, pengendali pusat-pusat beli-belah seperti CapitaLand perlu menjalankan perubahan besar dan menitikberatkan lagi aspek pengalaman para pelanggan, tambah Encik Heng.

"E-dagang akan merubah bagaimana bangunan-bangunan akan digunakan," kata Encik Heng.

Platform e-dagang Alibaba, Taobao, juga satu contoh bagi peralihan ini, dengan syarikat tersebut memilih untuk membuka kedai di Funan walaupun sudah mempunyai platfrom online.

Ia Kedai Taobao pertama di Asia Tenggara, di mana para pelanggan boleh melihat dan mencuba sendiri produk-produk yang ingin dibeli. Ia sekali gus menjadi tempat untuk berhimpun bagi mereka yang masih baru kepada platform beli-belah online atau keliru tentang cara penggunaannya.

"Kedai itu merealisasikan visi kami untuk menyepadukan wadah online dengan platform luar talian dengan lancar," kata Cik Charlene Zhang, yang memimpin kumpulan pembangunan perniagaan di Taobao Singapore.

Ia bukan sahaja tentang menggunakan teknologi tetapi bagaimana proses dan model perniagaan diubah untuk memenuhi keperluan para pelanggan dengan lebih baik, kata Encik Heng. "Kami perlu memikirkan kesan-kesan pembangunan ini terhadap pekerjaan, model perniagaan, dan cara kita mengawal selia (industri)."

MEMPERSIAPKAN PEKERJA BAGI MASA DEPAN

Trend terakhir yang dikongsi Encik Heng adalah pentingnya para pemimpin untuk membantu orang ramai mempersiapkan diri bagi masa depan dan memberi mereka akses kepada pekerjaan-pekerjaan yang lebih relevan.

Beliau berkata, Singapura sudah melakukan itu dalam sektor jagaan kesihatan dan pendidikan, misalnya, dan ini akan menjadi lebih genting jika Pemerintah ingin mengekalkan kontrak sosial dengan rakyatnya.

Encik Heng berkongsi pengalamannya sebagai Menteri Pendidikan, di mana beliau membawa sekumpulan guru ke Silicon Valley untuk mempelajari tentang teknologi-teknologi dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata para pendidik menunjukkan minat apabila melihat daya kreativiti pengusaha teknologi yang meringankan beban orang ramai dalam kegiatan seharian mereka.

"Kami tidak suka dengan tanggapan bahawa guru-guru tidak diperlukan dan boleh menjadi tidak perlu," kongsi salah seorang guru kepada Encik Heng.

Namun, usaha dijalankan bagi membangunkan sistem yang menyesuaikan teknologi dalam konteks tempatan dan Encik Heng berkata beliau gembira melihat seluruh pasukan guru tersebut mempunyai azam untuk memanfaatkan teknologi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita