Skip to main content

Singapura

DPM Heng: PAP mesti 'patuh kepada prinsip' yang meraih kepercayaan warga S'pura

Sedang Pemerintah berusaha menyiapkan warga Singapura untuk cabaran masa depan, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti "patuh kepada prinsip-prinsip yang meraih kepercayaan rakyat Singapura sejak turun-temurun" kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Heng: PAP mesti 'patuh kepada prinsip' yang meraih kepercayaan warga S'pura

DPM Heng Swee Keat di persidangan tahunan Sayap Wanita PAP pada 14 Sep 2019.

Diterbitkan : 14 Sep 2019 08:06PM Dikemas Kini : 14 Sep 2019 08:13PM

SINGAPURA: Sedang Pemerintah berusaha menyiapkan warga Singapura untuk cabaran masa depan, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti "patuh kepada prinsip-prinsip yang meraih kepercayaan rakyat Singapura sejak turun-temurun" kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (14 Sep).

"Pemerintah PAP mesti terus berjuang memenuhi keperluan golongan masyarakat yang meluas," kata beliau.

"Ini kita lakukan dengan mendampingi rakyat untuk lebih memahami keperluan mereka, untuk melakar dasar-dasar yang betul dan melaksanakannya dengan baik."

Semasa menyampaikan ucaptama di persidangan tahunan Sayap Wanita PAP, Encik Heng berkata badan tersebut mempunyai peranan penting dalam usaha ini dengan memperjuangkan perubahan untuk menyokong wanita Singapura dengan lebih kukuh dan memastikan mereka boleh mengambil bahagian dengan lebih menyeluruh dalam masyarakat.

Meskipun Sayap Wanita PAP ditubuhkan pada 1989 - 35 tahun selepas PAP diasaskan - sokongan parti terhadap pengupayaan wanita bermula dari "permulaan awal" PAP sendiri, kata Encik Heng.

Beliau menekankan sokongan wanita membantu PAP memenangi pilihan raya pertamanya pada 1959.

"SAYA YAKIN KITA BOLEH LAKUKAN LEBIH BAIK"

Encik Heng juga berkata beliau ingin melihat lebih ramai wanita memegang jawatan kepimpinan dalam masyarakat - tidak kira dalam bidang politik, sektor awam mahupun sektor privet.

Apabila Sayap Wanita PAP ditubuhkan, terdapat hanya empat wanita yang menjadi Anggota Parlimen. Beberapa dekad kemudian, terdapat 20 AP wanita dan lapan daripada mereka adalah pemegang jawatan politik.

Jawatan tertinggi negara juga disandang Presiden Halimah Yacob, tambah beliau.

"Dalam sektor privet, kaum Hawa kini membentuk sepertiga jawatan pengurusan kanan di Singapura. Namun hanya 9 peratus perniagaan Singapura mempunyai seorang CEO wanita, dan ini bermakna kita ketinggalan di belakang ekonomi-ekonomi ASEAN lain yang mempunyai sekitar 21 peratus," kata Encik Heng.

"Saya yakin kita boleh lakukan lebih baik ... Bersama, kita mesti terus berjuang meruntuhkan yang menghalang wanita daripada menyandang jawatan kepimpinan di semua peringkat dalam masyarakat."

Wanita di Singapura juga seharusnya terus "mempunyai kerja bermakna" sambil mendapat sokongan untuk memulakan keluarga, menjaga ibu bapa atau mengejar impian lain, kata beliau lagi.

Menurut Encik Heng, tempat-tempat kerja perlu lebih inklusif dan menyokong sekitaran keluarga demi memenuhi matlamat tersebut. Beliau mengetengahkan bagaimana Sayap Wanita PAP memainkan peranan penting dalam menggalakkan Pemerintah dan syarikat-syarikat untuk membantu para wanita mengimbangi dengan lebih baik antara kerjaya dan keluarga.

Hakikatnya, PAP kekal komited untuk memperjuangkan hak wanita, kata Encik Heng.

"Sokongan PAP untuk hak-hak wanita menunjukkan komitmen kita yang sedia ada untuk membangunkan masyarakat yang menawarkan peluang sama rata di mana segenap rakyat Singapura boleh mencapai potensi masing-masing," tegas beliau.

"Selagi PAP memerintah, kita akan terus berjuang demi memastikan wanita di Singapura akan mendapat peluang sama dengan golongan lelaki untuk mencapai potensi masing-masing, untuk hidup secara bermakna.

"Komitmen ini berterusan, ia sangat penting dahulu, kini dan pada masa hadapan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita