Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng: Nilai dari dwibahasa sudah berlipat kali ganda tapi cara kita pelajarinya perlu berubah-ubah

Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat berkata nilai dwibahasa sudah meningkat berlipat kali ganda bagi Singapura. Namun demikian cara kita mempelajari dwibahasa juga perlu berubah-ubah, tambah beliau.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat berkata nilai dwibahasa sudah meningkat berlipat kali ganda bagi Singapura. Namun demikian cara kita mempelajari dwibahasa juga perlu berubah-ubah, tambah beliau.

Encik Heng menekankan demikian semasa berucap di Simposium Bahasa Ibunda ke-10 hari ini (28 Ogos), di mana beliau menarik perhatian bahawa keupayaan dwibahasa membolehkan Singapura meluncur tiga gelombang.

"Gelombang kedua adalah globalisasi. Dwibahasa dan sekitaran berbilang budaya kita menyediakan asas yang kukuh untuk rakyat kita untuk berkembang dalam pelbagai pasukan antarabangsa yang semakin menjadi kebiasaan," kata Encik Heng.

"Gelombang ketiga kini muncul ketika kita sekarang memberikan tumpuan kepada potensi manusia, untuk mengeluarkan yang terbaik dari setiap individu. Kajian awal menunjukkan bahawa dwibahasa dikaitkan dengan ketangkasan mental dan kemampuan kreatif yang lebih besar, dan bahkan dapat melindungi daripada demensia."

Simposium Bahasa Ibunda hari ini membawa tema Bahasa Ibunda Kita sebagai Bahasa Yang Hidup.

Ia bertujuan menggalak penggunaan harian serta pembelajaran sepanjang hayat bahasa ibunda di kalangan kanak-kanak.

Menteri Kedua Pendidikan, Encik Maliki Osman yang turut menyertai simposium tersebut berkata: "Kita ingin menyampaikan mesej lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda kita bahawa pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu tidak harus tertumpu kepada situasi formal sahaja seperti di dalam kelas darjah. Tetapi bahasa ibunda boleh digunakan dalam sekitaran semulajadi mereka."

"Kita ingin memastikan bahawa bahasa ibunda kita menjadi naluri anak-anak kita supaya mereka tahu bahawa bukan sahaja mereka boleh fasih dalam bahasa Inggeris tetapi juga dalam bahasa ibunda mereka dan gunakan dalam kehidupan seharian mereka," tambah Encik Maliki.

‘MENGHIDUPKAN’ KISAH RAKYAT - CARA SHAHRIL SAMRI PUPUK CINTA DALAM KALANGAN MURID

Di acara yang sama, 10 guru turut diiktiraf dengan Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang (OPMTL).

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Muhammad Shahril Samri mengajar bahasa Melayu di PCF Sparkletots @ Pioneer 661B.

Rakan-rakan dan keluarga beliau mungkin mengenalinya sebagai seorang pendidik prasekolah.

Namun, bagi anak-anak muridnya, Encik Shahril, 34 tahun, sebenarnya ‘Pak Pandir’ dan ‘Mak Tiri Bawang Putih’ kepada mereka.

Manakan tidak, itulah antara watak-watak cerita-cerita rakyat yang dilakonkan beliau semasa mengajar.

Encik Shahril menggunakan teknik kreatif itu untuk menangani keperluan pembelajaran anak-anak didiknya dengan menyesuaikan isi pelajaran mengikut kemampuan berbahasa mereka.

Menurutnya, ia juga akan dapat menilai sama ada murid-muridnya sudah fahami apa yang sudah diajar. Encik Shahril menjelaskan perkara itu dengan satu contoh:

“Mereka akan rasa ghairah, hari ini guru saya akan jadi watak apa pula dan dari situ mereka akan rasa seronok untuk datang ke sekolah setiap hari. Jadi saya sengaja mencari watak-watak yang pelbagai terutama sekali cerita-cerita rakyat untuk membuat mereka rasa terpegun dengan watak-watak ini dan mereka juga akan belajar tentang watak-watak yang jarang sekali disentuh.”

Selain memainkan watak-watak dalam cerita-cerita rakyat, Encik Shahril juga sering membawa murid-muridnya ke luar bilik darjah untuk belajar bahasa Melayu.

“Saya tidak mahu anak-anak murid saya rasa terkongkong kerana dinding-dinding bilik darjah juga akan membatas semangat dan penglihatan serta daya kreatif mereka untuk meneka apa yang berlaku di luar sana,” ujar Encik Shahril.

Menurutnya lagi, pembelajaran di luar bilik darjah juga akan membawa kepada pertanyaan oleh murid-muridnya yang memberi peluang untuk dirinya mempelajari dan membuat kajian untuk menghasilkan bahan-bahan pelajaran bagi anak-anak muridnya.

Sebagai seorang guru prasekolah, Encik Shahril percaya dan menegaskan agar rasa cinta kepada bahasa perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak dari usia paling muda lagi.

“Saya percaya pada prinsip di mana bahasa dan anak-anak murid saya merupakan wakil masyarakat Melayu dan mereka bakal mewarisi masyarakat Melayu dan seni dan budaya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Shahril juga berharap bahawa kanak-kanak Melayu selesa untuk menggunakan bahasa ibunda mereka mahupun di rumah atau di sekolah.

“Saya mahu mengembangkan minat tulen terhadap bahasa ibunda yang tulen dan saya ingin mereka rasa yakin dan bersedia terutama sekali apabila mereka melangkah ke sekolah rendah nanti, mereka sudah tahu yang asas dan bersedia.”

“Saya mahu melihat apabila bermain dengan kawan-kawan mereka, mereka menggunakan bahasa Ibunda. Dari situ kita dapat lihat bahasa kita dipelihara dan digunakan,” jelas Encik Shahril kepada BERITAmediacorp.

Itulah pendekatan menyeluruh dalam mengajar bahasa ibunda kepada murid-muridnya yang membuatkan beliau diiktiraf sebagai antara enam penerima Anugerah Guru Bahasa Ibunda Prasekolah Cemerlang kali ini.

“Terperanjat itu adalah dan bersyukur atas penerimaan anugerah ini. Ia memberi saya peluang dan ruang untuk belajar menjadi guru yang mungkin luar daripada kebiasaan dan merangsang saya menjadi berani dan cuba pelbagai kaedah untuk saya menjadi seorang guru yang murid-muridnya rasa gembira apabila masuk bilik darjah,” kata Encik Shahril.

Seorang lagi penerima anugerah tersebut adalah Cik Arfahrizan Abdul Wahed, yang mengajar di PCF Sparkletots @ Blk 631 Boon Lay.

Cik Zahidah Mahmood dari prasekolah M.Y World @Punggol Edge pula menjadi antara empat penerima Anugerah Merit.

Kesemua 10 guru itu dipilih daripada hampir 100 pencalonan yang diterima tahun ini.

Anugerah tahunan itu diberikan kepada guru yang layak menerusi kerjasama Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Tamil (TLLPC) dan Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Cina (CPCLL).

Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, simposium tahun ini diadakan dalam bentuk online atau e-MTLS.

Dalam pada itu, simposium tersebut turut menyeru masyarakat untuk berkongsi usaha bersama dalam menggalak penggunaan bahasa ibunda menerusi program-program kreatif dan menarik.

Turut diadakan semasa simposium tersebut adalah sesi perbincangan yang bertajuk “Mewujudkan Perbualan Mendalam dengan Kanak-kanak dalam Bahasa Ibunda”.

Dihadiri Menteri Pendidikan Encik Chan Chun Sing dan para ahli panel yang juga pakar dalam bidang masing-masing, mereka berkongsi pandangan, pengalaman serta cara-cara menarik untuk mewujudkan sekitaran yang menyeluruh bagi anak-anak belajar bahasa ibunda baik di rumah mahupun di luar dalam kalangan masyarakat.

Di samping sesi perbincangan yang diadakan yang disiarkan secara langsung di laman www.mtls.edu.sg. masyarakat awam juga berkesempatan untuk mengikut serta dalam simposium tahun ini menerusi Cabaran Bahasa Ibunda di laman yang sama.

Kanak-kanak juga boleh menyertai permainan interaktif “Pencarian Online” di mana mereka akan dapat mendalami bahasa ibunda masing-masing.

Selain itu, sebuah galeri maya turut ditampilkan, dengan lebih 40 perkongsian yang dihasilkan oleh para kakitangan pra-sekolah, sekolah-sekolah dan rakan-rakan kerjasama masyarakat dilancarkan.

Pameran perkongsian itu termasuk amalan-amalan, wadah serta program berkaitan pembelajaran bahasa ibunda.

Terdapat juga 18 sesi perkongsian oleh pakar dalam bidang pendidikan dan selebriti yang mempunyai anak mengenai cara-cara kreatif untuk membangkitkan semangat ingin tahun ke dalam diri kanak-kanak untuk mempelajari bahasa ibunda.

Masyarakat awam juga oleh mengikuti setiap daripada 30 sesi perbincangan dan perkongsian mengenai cara-cara untuk menggalak kanak-kanak menggunakan dan mendalami bahasa ibunda di laman www.mtls.edu.sg sehingga April 2022.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa