DPM Heng: Kuasai Bahasa Melayu buka pintu pelbagai peluang baru di S'pura, Asia Tenggara
Menguasai Bahasa Ibunda mungkin tidak mudah tetapi penguasaan Bahasa Melayu yang baik akan membawa kepada hasil yang sangat memuaskan.
DPM Heng di Pelancaran Bulan Bahasa 2020. (Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)
SINGAPURA: Menguasai Bahasa Ibunda mungkin tidak mudah tetapi penguasaan Bahasa Melayu yang baik akan membawa kepada hasil yang sangat memuaskan.
Ini kerana ia akan membuka pintu kepada pelbagai peluang baru - baik di Singapura, mahupun Asia Tenggara.
"Saya sendiri sedang mengambil kelas Bahasa Melayu dan sedang berusaha untuk mempertingkat kebolehan saya untuk bertutur dalam Bahasa Melayu." - DPM Heng Swee Keat
Demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu terhormat dalam acara pelancaran Bulan Bahasa 2020 malam ini tadi (5 Sep).
Tidak seperti tahun-tahun sudah, Bulan Bahasa kali ini dirasmikan menerusi rancangan siaran khas di saluran Suria.
Acara itu menyaksikan persembahan-persembahan dari para Duta Bahasa Melayu dan Rakan Bahasa, serta rakan-rakan kerjasama dari sekolah-sekolah dan masyarakat.
(Gambar-gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura)
Kehadiran DPM Heng dalam rancangan itu membuktikan lagi peri pentingnya usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Turut hadir adalah Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam.
DPM HENG JUGA AMBIL KELAS BELAJAR BAHASA MELAYU!
Mengulas lebih lanjut dalam ucapan beliau, DPM Heng menekankan tentang peri pentingnya Bahasa Ibunda dalam membentuk identiti bangsa, budaya dan nasional kita.
Bahkan, beliau percaya, semua warga Singapura berkongsi aspirasi yang sama, iaitu "memastikan generasi masa hadapan terus sayang akan bahasa dan budaya mereka".
"Saya sendiri sedang mengambil kelas Bahasa Melayu dan sedang berusaha untuk mempertingkat kebolehan saya untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Saya berharap saya dapat berkomunikasi dengan lebih baik bersama anda semua," kongsi beliau.
Sempena sambutan Bulan Bahasa yang ke-32 di Singapura, DPM Heng turut memuji MBMS di atas usahanya melestarikan budaya dan warisan Melayu menerusi sastera dan bahasa.
Beliau yakin MBMS berupaya menjadikan pembelajaran dan penggunaan Bahasa Melayu lebih bermakna dan berkesan kerana menjalin kerjasama dengan banyak pihak-pihak berkepentingan.
Ini termasuklah Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC).
"Semua usaha ini menunjukkan aspirasi, visi dan harapan untuk bahasa, seperti yang dicerminkan dalam tema Bulan Bahasa - Cita. Citra. Cinta. Bahasa kita. Semoga anda dapat terus menghidupkan Bahasa Melayu dan menjadikannya relevan bagi generasi-generasi seterusnya," tambah DPM Heng.
35 KEGIATAN BARISI BULAN BAHASA
Di acara yang sama, Cik Rahayu melahirkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan penaja atas sokongan mereka dalam Bulan Bahasa 2020.
"Dalam keadaan yang amat mencabar, keazaman yang ditunjukkan oleh rakan-rakan kerjasama untuk menjayakan program-program bahasa secara dalam talian, akan menjadi tunggak dalam usaha menjadikan bahasa Melayu menarik dan relevan kepada generasi masa depan," kata Cik Rahayu.
Bulan Bahasa kali ini membariskan 35 acara kesemuanya. Kegiatan-kegiatannya sudah bermula sejak 15 Ogos dan berlangsung hingga 11 Oktober nanti.
Semuanya bakal dianjurkan di wadah-wadah digital seperti Facebook, Zoom, YouTube dan Instagram. Antara kegiatan menarik yang boleh disertai termasuklah bengkel teater kanak-kanak, forum bangsawan dan peraduan pemuzik jalanan.
Rancangan Pelancaran Bulan Bahasa 2020 hari ini (5 Sep) turut memperkenalkan sekali lagi tiga anggota baru dalam keluarga Duta bahasa - Zamil Kanan di badan pemikir ISEAS, Dr Norshahril Saat, doktor pakar dalam bidang geriatrik Dr Nur Farhan Alami dan personaliti media Sujimy Mohamad.
Mereka kali pertama didedahkan sebagai Duta Bahasa terbaru pada 29 Julai lalu.
"Saya mendambakan sokongan dan sumbangan mereka dalam menggalak penggunaan Bahasa Melayu," kata Cik Rahayu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.