Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng keluarkan arahan pembetulan terhadap pengguna Facebook atas dakwaan palsu Belanjawan Berdaya Tahan

Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengeluarkan arahan pembetulan terhadap seorang pengguna Facebook berhubung catatan mengenai Belanjawan  Berdaya Tahan, menurut Pejabat Akta Perlindungan Daripada Penipuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Rabu (1 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Heng keluarkan arahan pembetulan terhadap pengguna Facebook atas dakwaan palsu Belanjawan Berdaya Tahan

DPM Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan Berdaya Tahan pada 26 Mac 2020

Diterbitkan : 01 Apr 2020 12:28PM Dikemas Kini : 01 Apr 2020 12:30PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengeluarkan arahan pembetulan terhadap seorang pengguna Facebook berhubung catatan mengenai Belanjawan Berdaya Tahan, menurut Pejabat Akta Perlindungan Daripada Penipuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Rabu (1 Apr).

Catatan oleh pengguna Facebook "tifinnytara" mengandungi "kenyataan palsu berhubung Belanjawan Berdaya Tahan Singapura", menurut pejabat POFMA.

Arahan pembetulan memerlukan pengguna itu meletakkan notis pembetulan di atas catatan Facebook berkenaan.

Catatan tersebut merujuk kepada pakej bernilai S$48 bilion yang didedahkan oleh Encik Heng minggu lalu dalam respons terhadap pandemik COVID-19.

Catatan itu mempersoalkan sumber bagi pembiayaan usaha untuk meningkatkan modal Singapore Airlines (SIA) yang diumumkan minggu lalu dengan mendakwa bahawa hampir sepertiga daripada pakej S$48 bilion itu akan diperuntukkan buat syarikat penerbangan itu.

"Ini tidak benar," menurut pihak berkuasa dalam satu artikel Factually di gov.sg.

"Usaha meningkatkan modal SIA bernilai S$15 bilion, yang diumumkan pada 26 Mac 2020, adalah berbeza serta berasingan daripada Belanjawan Berdaya Tahan dan ia tidak dibiayai oleh Pemerintah."

Pengguna Facebook itu turut mendakwa bahawa S$17 bilion daripada rizab terdahulu - di mana Presiden Halimah Yacob meluluskannya secara prinsip pada minggu lalu - akan digunakan terutamanya untuk Temasek Holdings.

Menurut rencana Factually, kenyataan itu juga palsu.

"Untuk menyokong Belanjawan Berdaya Tahan, Pemerintah mengusulkan untuk menggunakan S$17 bilion daripada rizab lalu bagi skim-skim ekonomi dan sektor yang luas," jelasnya.

Skim-skim yang menggunakan rizab lalu termasuk peningkatan skim sokongan pekerjaan, peningkatan skim kewangan, skim bantuan bagi mereka yang bekerja sendiri dan pakej sokongan penerbangan.

"Tidak ada skim yang disebutkan tadi diperuntukkan bagi Temasek Holdings (Private) Limited ("Temasek") atau syarikat yang berkaitan dengan Temasek," menurut Factually.

Selain itu, ia menyatakan S$20 bilion sudahpun diperuntukkan dalam bentuk modal pinjaman untuk menyokong "syarikat-syarikat dengan keupayaan kukuh" serta berdaya memacu modal pinjaman sektor privet.

Factually menyatakan peruntukan S$20 bilion itu tidak akan digunakan oleh Pemerintah untuk menyokong usaha pengumpulan dana SIA.

Pengguna Facebook itu belum lagi menyertakan notis pembetulan dalam catatannya setakat sehingga 10.00 pagi Rabu.

Beberapa arahan pembetulan dikeluarkan oleh pihak berkuasa terhadap dakwaan yang ada kaitan dengan keadaan virus korona di Singapura sejak penularan itu bermula di sini.

Ini termasuk arahan yang dikeluarkan terhadap rencana oleh AB-TC City News yang mendakwa pada masa itu bahawa lima warga Singapura dijangkit penyakit itu tanpa sejarah perjalanan ke China. Satu lagi arahan pembetulan dikeluarkan terhadap laman berita alternatif States Times Review atas dakwaannya bahawa Singapura sudah kehabisan bekalan pelitup. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan