Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng dianugerahi Pingat Kehormatan; anugerah tertinggi Hari Buruh NTUC

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Rabu (28 Apr) dianugerahi Pingat Kehormatan sempena Anugerah Hari Buruh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diadakan di Downtown East.

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Heng dianugerahi Pingat Kehormatan; anugerah tertinggi Hari Buruh NTUC

(Gambar fail DPM Heng Swee Keat)

Diterbitkan : 28 Apr 2021 09:38PM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 09:40PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Rabu (28 Apr) dianugerahi Pingat Kehormatan sempena Anugerah Hari Buruh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diadakan di Downtown East.

Anugerah tertinggi sempena Hari Buruh NTUC diberikan kepada "individu-individu istimewa yang telah memberikan khidmat yang cemerlang kepada gerakan buruh", menurut NTUC dalam kenyataan medianya.

Encik Heng juga merupakan tetamu terhormat di majlis penyampaian anugerah itu, yang dihadiri lebih 200 tetamu termasuk pemimpin kesatuan dan rakan perikatan tiga pihak yang diadakan melalui dua sesi pada hari yang sama. Majlis itu juga disiarkan secara online melalui Zoom bagi para tetamu penerima anugerah.

Pingat Kehormatan dianugerahkan kepada Encik Heng atas "peranan pentingnya dalam memastikan ekonomi kita terus berdaya maju untuk perusahaan dan perniagaan kita dan mewujudkan pekerjaan yang baik bagi para pekerja kita", menurut NTUC.

"Sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Menteri Kewangan, beliau menggubal dasar-dasar yang menyokong pekerja dan perniagaan, membolehkan para pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk terus berada di hadapan persaingan dan dapat terus bekerja.

"Sejak bermulanya COVID-19, beliau membantu banyak perniagaan bertakat dan menyelamatkan mata pencarian para pekerja menerusi kelima-lima Belanjawannya yang tegas dan berhemah."

Encik Heng juga sering mendampingi para pemimpin kesatuan dan pekerja untuk mendengar keprihatinan dan menjelaskan dasar-dasar pemerintah kepada mereka, tambah kenyataan NTUC itu.

Anugerah ini "akan menjadi peringatan berterusan bahawa kebajikan para pekerja kita dan keluarga mereka akan sentiasa menjadi keutamaan di sebalik apa saja yang kita lakukan", kata Encik Heng kepada makalah online LabourBeat.

"Saya sangat tersentuh dengan anugerah ini dan saya menerimanya bagi pihak kesemua rakan perikatan tiga pihak kita," katanya.

"Kami berhasil membawa perubahan kepada kehidupan para pekerja kita berkat semangat kerjasama perikatan tiga pihak yang kuat di Singapura - bekerjasama untuk menjaga para pekerja kita, perniagaan dan kepentingan negara."

LEBIH 140 INDIVIDU, PERTUBUHAN DIIKTIRAF

Encik Heng adalah antara 143 penerima anugerah yang diiktiraf di majlis itu atas "sumbangan teladan dalam mengedepankan kepentingan pekerja serta para pekerja yang mereka sendiri merupakan peran contoh di tempat kerja masing-masing".

Seramai 24 individu turut diberikan anugerah lebih tinggi, termasuk Encik Chee Hong Tat, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pengangkutan.

Encik Chee menerima Anugerah Bakti Cemerlang atas "peranan aktifnya sebagai penasihat kepada kedua-dua Kesatuan Pekerja Khidmat Jagaan Kesihatan dan Kesatuan Pekerja Tenaga dan Gas (UPAGE)".

Beliau mendedikasikan anugerah itu kepada pemimpin mapan kesatuan Nachiappan R K Sinniah kerana "telah banyak belajar darinya dan apa maksudnya untuk berjuang demi para pekerja kita dengan penuh keberanian, belas kasihan dan keyakinan".

Mendiang Encik Nachi adalah setiausaha agung emeritus UPAGE. Beliau meninggal dunia pada Mac dan dianugerahi Rakan Buruh (Bintang) pada Rabu (28 Apr).

Selain itu, 44 pertubuhan diiktiraf kerana "mengeratkan hubungan buruh-pengurusan dan menyokong inisiatif Gerakan Buruh dalam menaikkan gaji pekerja dan mempertingkatkan kebajikan dan prospek pekerjaan".

Turut diikitiraf adalah 20 pekerja yang menjadi "peran contoh dalam usaha mempertingkatkan peluang kerja melalui peningkatan kemahiran, serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang kian berubah-ubah".

Walaupun 2020 terpalit dengan "banyak ketidaktentuan dan kegelisahan", ia juga merupakan tahun di mana Singapura menyaksikan "semangat setia kawan perikatan tiga pihak yang sebenar", kata Presiden NTUC Mary Liew.

"Pemimpin pemerintah dan pegawai awam, pemimpin kesatuan dan para majikan bersatu padu saling membantu mengurangkan kesan pandemik terhadap para pekerja dan syarikat-syarikat dan membantu mereka meneroka peluang," katanya.

"Mengiktiraf mereka sempena Anugerah Hari Buruh NTUC adalah sanjungan dan penghargaan yang bersesuaian bagi segala kerja keras mereka dalam melindungi dan menjaga para pekerja kita, baik dalam masa senang mahupun sukar."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan