DPM Heng, CE John Lee sahkan kerjasama S'pura & Hong Kong
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dan Ketua Eksekutif John Lee mengesahkan lagi kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara Singapura dengan Hong Kong semasa pertemuan mereka pada Isnin (29 Ogos).
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bertemu Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee di Pejabat Ketua Eksekutif pada 29 Ogos 2022. (Gambar: MCI)
Dalam satu catatan Facebook selepas pertemuan tersebut, Encik Heng menulis: "Sebagai bandar-bandar dengan pandangan antarabangsa, Hong Kong dan Singapura berkongsi banyak perkara yang sama. Kami berkongsi hubungan ekonomi yang kukuh, ikatan akrab antara rakyat kita dan banyak bidang kerjasama."
Selain mengesahkan "momentum baik" kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara Singapura dengan Hong Kong, Encik Heng menambah kedua-dua pihak juga membincangkan bagaimana mereka boleh memperdalam lagi kerjasama.
"Memandang ke hari muka, kami berbincang bagaimana Singapura dan Hong Kong boleh memperdalamkan lagi kerjasama dalam bidang-bidang seperti daya bingkas ekonomi dan kesihatan awam serta juga bagaimana kita boleh berganding bahu untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran serantau di samping bagi kemaslahatan rakyat kita."
“Saya yakin persahabatan antara Singapura dengan Hong Kong akan terus mekar sepanjang tempoh CE Lee berkhidmat," tambah beliau.
Encik Heng berada di Hong Kong bagi satu lawatan kerja rasmi dari Ahad hingga Rabu.
Selain Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee, Encik Heng juga bertemu dengan Ketua Setiausaha Pentadbiran Eric Chan, Setiausaha Kewangan Paul Chan serta Setiausaha bagi Inovasi, Teknologi dan Industri Sun Dong.
Encik Heng, yang diiringi isterinya dan para pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA), akan turut menyertai sesi dialog dasar Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China ketujuh pada Rabu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.