DPM Heng bertegas tidak saran pengundi 'ambil risiko' semasa GE2020
Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata beliau tidak menyarankan agar para pengundi "mengambil risiko" semasa Pilihan Raya Umum nanti.
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata beliau tidak menyarankan agar para pengundi "mengambil risiko" semasa Pilihan Raya Umum nanti.
Encik Heng berkata demikian sebagai membidas seruan Ketua Parti Pekerja Pritam Singh yang semalam (27 Jun) menggesa agar para pengundi mewujudkan "keseimbangan dalam Parlimen".
DPM Heng, yang juga penolong setiausaha agung pertama PAP, mengulas demikian semasa melawat-lawat GRC Sengkang untuk bertemu penduduk pagi tadi.
Menurut Encik Heng, ada kemungkinan setiap kerusi akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum pada 10 Julai ini dan beliau menekankan perlunya rakyat memberi PAP mandat jelas serta tidak "mengambil risiko".
"Kami tidak akan dapat membentangkan empat Belanjawan dalam masa 100 hari jika kami tidak menumpukan perhatian dalam membawa Singapura ke hadapan.
"Jadi apa yang penting adalah saya berharap rakyat kita percaya bahawa inilah parti yang akan membawa Singapura dan rakyat Singapura melalui krisis yang amat mencabar ini dan menjadi lebih utuh kerana kesemuanya adalah bukan untuk memenangi undi. Ia benar-benar mengenai masa depan kita dan anak kita," tekan Encik Heng.
Kunjungan Encik Heng ke GRC Sengkang siang tadi disertai Setiausaha Agung NTUC Encik Ng Chee Meng, Dr Lam Pin Min, Encik Amrin Amin dan muka baru PAP, Raymond Lye.
Mereka dijangka akan bertanding di GRC tersebut yang merupakan sebuah GRC baru.
Menurut ketua gerakan buruh, Encik Ng, beliau berharap dapat memanfaatkan rangkaiannya untuk membantu para penduduk mendapatkan pekerjaan.
Kebanyakan penduduk Sengkang adalah golongan 'terhimpit' atau 'sandwiched class' kata beliau kerana perlu menjaga ibu bapa serta anak-anak mereka.
"Dengan keluarga besar, NTUC memanfaatkan dasar pemerintah. Kami berharap dapat membawa semua khidmat yang cemerlang ini ke Sengkang supaya dapat membawa 100,000 pekerjaan yang ingin diwujudkan itu secara langsung kepada masyarakat untuk membantu mereka," kata Encik Ng.
AMRIN AMIN BERTEKA-TEKI
Semasa ditemui pihak kami, Encik Amrin pula enggan mengesahkan secara mutlak sama ada beliau sah akan bertanding di GRC Sengkang tetapi ada memberi bayangan.
"Saya sedih akan beredar dari Woodlands (GRC Sembawang) tetapi yang akan saya bawa ke Sengkang adalah dedikasi yang sama, kesungguhan yang sama," ujarnya.
"Yang pasti adalah kita nantikan satu persaingan atau pertandingan yang hebat dan sengit di Sengkang ini. Yang penting adalah pasukan PAP akan memberi tumpuan yang khusus kepada keperluan masyarakat. Kita di dalam satu situasi yang unik sedang kita berdepan dengan krisis yang sangat sukar."
DPM HENG TURUN PADANG KE EUNOS
Selain GRC Sengkang, DPM Heng juga melawat pasar dan pusat makanan Eunos Crescent di GRC Marine Parade.
Beliau diiringi AP kawasan undi tersebut, Tan Chuan Jin, bersama bakal calon PAP, Fahmi Aliman.
Turut hadir sama ialah para AP PAP lain iaitu Edwin Tong, Seah Kian Peng dan calon baru, Dr Tan See Leng.
DPM Heng, yang juga Menteri Kewangan, mendengar keprihatinan orang ramai dan memahami bagaimana dasar-dasar negara seperti Belanjawan memberi manfaat kepada para penduduk.
Encik Heng juga sempat ke pusat makanan dan pasar bulat Tampines bersama rakan AP GRC Tampines, Desmond Choo.
Mereka berbual-bual dengan para penduduk dan mendapatkan maklum balas tentang skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat CDC.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.