DPM Heng akan sampaikan kenyataan Belanjawan 2021 pada Selasa depan
Kenyataan Belanjawan 2021 akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen pada Selasa depan (16 Feb) pada pukul 3.00 petang.
SINGAPURA: Kenyataan Belanjawan 2021 akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat di Parlimen pada Selasa depan (16 Feb) pada pukul 3.00 petang.
Ucapan Belanjawan akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube, Facebook dan laman web CNA serta di Saluran 5, CNA938 dan khidmat interaktif MeWatch Mediacorp.
Siaran langsung Ucapan Belanjawan juga boleh ditonton di laman web Belanjawan Singapura dan laman Facebook Kementerian Kewangan (MOF).
MOF juga akan menyediakan alih bahasa isyarat ucapan itu secara langsung di laman web Belanjawan Singapura dan Saluran 5, hasil kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Singapura.
Selain itu, kemas kini pengumuman utama daripada ucapan itu akan dimuat naik pada masa nyata ke laman Facebook dan akaun Twitter MOF.
Orang awam juga boleh melungsuri laman Belanjawan Singapura dan melanggani laman itu bagi mendapatkan kenyataan penuh Belanjawan menerusi e-mel selepas ia disampaikan. Khidmat itu akan tersedia bagi pendaftaran sehingga pukul 2.00 petang pada Isnin.
Orang awam juga boleh melanggani saluran MOF di Telegram untuk mengikuti pengumuman terkini Belanjawan.
MAKLUM BALAS KENYATAAN BELANJAWAN 2021
Menyusuli penyampaian kenyataan, orang awam boleh menghantar pandangan mereka mengenai Belanjawan menerusi pelbagai wadah maklum balas.
Ini termasuk laman Belanjawan Singapura, laman REACH Budget 2021, laman Facebook REACH Singapore, akaun Instagaram REACH Singapore dan Borang Belanjawan 2021.
REACH juga akan mengadakan dua perbincangan Belanjawan secara maya pada 19 dan 20 Feb - masing-masing dalam bahasa Inggeris dan Mandarin - sebagai sebahagian daripada siri Perbincangan Singapura Bangkit Lebih Teguh di bawah gerakan SG Bersatu.
Menteri Pendidikan merangkap Menteri Kedua Kewangan Lawrence Wong akan mempengerusikan sesi perbincangan dalam Bahasa Inggeris manakala Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing akan mempengerusikan sesi dalam Bahasa Mandarin. Pengerusi REACH Tan Kiat How juga akan hadir di kedua-dua sesi.
Selain itu, REACH juga akan menyediakan wadah untuk orang ramai memberi maklum balas mengenai Belanjawan di lokasi-lokasi merata Singapura.
Persatuan Rakyat (PA) dan persatuan-persatuan akar umbi akan mengadakan dialog pasca Belanjawan untuk mendampingi penduduk mengenai langkah-langkah Belanjawan 2021.
Para penduduk yang berminat boleh mendaftarkan diri di laman go.gov.sg/postbudget2021 sehingga pukul 2.00 petang pada 26 Feb.
Memandangkan situasi COVID-19 yang sering berubah-ubah, rancangan pendampingan dan pelibatan pasca Belanjawan mungkin akan disesuaikan bagi menjamin kesihatan awam. Sebarang kemas kini akan dimuat naik oleh MOF, REACH dan PA pada laman web atau wadah media sosial masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.