Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dos penggalak kedua kini disarankan bagi penduduk berusia 60 tahun ke atas

Anggaran Waktu Membaca:
Dos penggalak kedua kini disarankan bagi penduduk berusia 60 tahun ke atas

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan memperluaskan julat usia individu yang disarankan untuk mendapatkan dos penggalak kedua untuk merangkumi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas. 

Demikian diumumkan MOH pada Rabu (24 Ogos). 

Sebelum ini, dos penggalak kedua disarankan bagi warga emas yang berusia 80 tahun dan ke atas. 

Sewaktu sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata sekitar 80 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos penggalak. 

"Inilah sebab utama mengapa kita dapat mengharungi gelombang varian BA.5 sekarang tanpa perlu mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM), tanpa melaporkan banyak kes serius dan tanpa hospital-hospital di sini terbeban," katanya. 

"Justeru, untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang hujung tahun, kita harus memperluaskan perlindungan vaksinasi kita." 

PERLINDUNGAN YANG LEBIH BAIK

Dos penggalak pertama memberikan perlindungan yang baik terhadap jangkitan serius COVID-19 dan daripada dimasukkan ke hospital bagi warga emas berusia antara 60 hingga 79 tahun, menurut MOH. 

Namun, MOH menjangkakan perlindungan tersebut akan melemah secara beransur-ansur, memandangkan sudah lebih setahun sejak dos penggalak pertama disuntik pada golongan usia tersebut. 

"Kita harus memastikan vaksinasi sedia ada mengikuti perkembangan terkini untuk bersiap sedia menghadapi gelombang jangkitan pada masa akan datang." 

Tambah MOH, bukti terkini menunjukkan bahawa dos penggalak kedua berhasil meningkatkan keberkesanan vaksin terhadap penyakit serius dari 94 peratus kepada 97 peratus bagi warga emas berusia antara 70 hingga 79 tahun. 

Bagi mereka yang berusia antara 60 hingga 69 tahun, keberkesanannya meningkat dari 97 peratus kepada 98 peratus. 

Berdasarkan kenyataan ini, MOH menyatakan ia bersetuju dengan saranan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 (EC19V) bahawa semua warga emas berusia 60 tahun dan ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak kedua sekurang-kurangnya lima bulan selepas suntikan dos penggalak pertama. 

Para indvidu yang mudah jatuh sakit juga digalakkan supaya mendapatkan suntikan dos penggalak kedua, menurut MOH, sambil menambah bahawa ia akan terus menawarkan dos penggalak kedua kepada para individu yang berusia antara 50 hingga 59 tahun. 

Semua individu yang layak bagi dos asas vaksinasi, dos penggalak pertama atau dos penggalak kedua boleh terus mengunjungi mana-mana 10 Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) yang ditempatkan di merata Singapura, tanpa perlu membuat janji temu. 

Janji temu juga boleh dibuat di pusat-pusat berkenaan, Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) atau poliklinik menerusi undangan SMS. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan