DormWatch dilancar bagi mudahkan pekerja asing beri maklum balas dormitori
Para pekerja asing kini boleh memberikan maklum balas mengenai pelbagai isu atau masalah yang dihadapi di dormitori mereka melalui aplikasi mudah alih yang dilancarkan pada Rabu (12 Sep).
Para pekerja asing melakukan kerja-kerja binaan jalan raya di Singapura. (Gambar fail: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Para pekerja asing kini boleh memberikan maklum balas mengenai pelbagai isu atau masalah yang dihadapi di dormitori mereka melalui aplikasi mudah alih yang dilancarkan pada Rabu (12 Sep).
Diberi nama DormWatch, aplikasi itu membolehkan para pekerja asing untuk memuat naik gambar atau rakaman video isu-isu dialami yang diiringi dengan keterangan ringkas mengenai isu tersebut.
Para pengendali dormitori juga boleh berhubungan secara langsung dengan pekerja asing melalui aplikasi tersebut, selain menerangkan bagaimana isu-isu boleh dihuraikan.
"Platform itu menggalak sikap bertanggungjawab di dormitori di mana para pengendali digesa supaya mendampingi para penghuninya dengan kerap dan bekerjasama dengan mereka untuk memperbaiki taraf hidup dan persekitarannya," kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang melancarkan aplikasi berkenaan di satu majlis penyampaian anugerah bagi mengiktiraf pengurusan perumahan pekerja asing yang boleh dicontohi.
Maklum balas yang diterima akan dikongsi dengan Kementerian Tenaga Manusia, yang hanya akan campur tangan dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak jika gagal menemui jalan tengah, tambah Encik Zaqy.
Aplikasi itu masih lagi di peringkat beta dan buat masa ini hanya disediakan dalam bahasa Inggeris dan Cina.
Bahasa Tamil dan Bengali akan diperkenalkan pada masa akan datang, menurut kenyataan media itu lagi.
Pada awal bulan ini, MOM melaporkan bahawa keadaan persekitaran bagi dormitori pekerja asing sudah bertambah baik.
Ini dapat dilihat berdasarkan kemerosotan pada jumlah pesalah, dengan 1,176 saman dikeluarkan pada 2017 berbanding 1,451 kes yang dilaporkan pada 2015.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.