Donald Low letak jawatan sebagai dekan bersekutu Sekolah Dasar Awam LKY
Ahli akademik Donald Low meletak jawatan sebagai dekan bersekutu bagi pendidikan eksekutif dan penyelidikan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP). Ini sudah disahkan oleh sekolah berkenaan.
(Gambar: Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS/ Facebook)
SINGAPURA: Ahli akademik Donald Low meletak jawatan sebagai dekan bersekutu bagi pendidikan eksekutif dan penyelidikan Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP). Ini sudah disahkan oleh sekolah berkenaan.
Dalam kenyataan yang diemel kepada Mediacorp, seorang jurucakap dari LKYSPP berkata: "Sekolah (LKYSPP) sudah menerima peletakan jawatan Profesor Madya Donald Low. Kami menghargai sumbangan dan perkhidmatannya di Sekolah LKY."
Jurucakap itu bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut tentang sebab Encik Low meletak jawatan mahupun bila beliau akan meninggalkan sekolah itu.
Selain memimpin usaha-usaha pendidikan eksekutif LKYSPP, Prof Low mempengerusikan sebuah unit kajian kes. Beliau mempunyai minat terhadap bidang ekonomi dalam dasar awam, ketaksamaan dan perbelanjaan sosial, bidang ekonomi yang menyelidik corak perbelanjaan orang awam, kewangan awam, perubahan pertubuhan serta tadbir urus dan politik di Singapura.
Sebelum menyandang jawatannya yang sekarang, Prof Low berkhidmat dalam sektor awam selama 15 tahun dan menyandang beberapa jawatan kanan termasuk sebagai pengarah dasar kewangan di Kementerian Kewangan dan pengarah di Pejabat Dasar Strategik di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Beliau juga memantapkan Pusat bagi Ekonomi Awam di Kolej Perkhidmatan Awam Singapura bagi membantu pemerintah Singapura menjadi lebih celik dalam bidang ekonomi.
Peletakan jawatan Prof Low berlaku tiga bulan selepas dekan pengasas LKYSPP Kishore Mahbubani meletak jawatan.
Melalui catatan Facebooknya hari ini (3 Apr), Prof Low berkata: "Sememangnya saya meninggalkan sekolah itu dan saya masih mempunyai hubungan baik dengannya. Lima setengah tahun dalam sekolah ini sangat bermakna, dan saya gembira dapat bekerja dengan rakan-rakan pejabat saya dan para pelajar. Saya akan merindui mereka. Saya tidak sabar untuk benar-benar melancong."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.