Donald Liew minta maaf atas dakwaan rasuah terhadap Josephine Teo dan suaminya
Seorang pengguna Facebook meminta maaf pada Rabu (20 Mei) kerana membuat dakwaan yang menuduh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dan suaminya menerima rasuah daripada pembinaan kemudahan-kemudahan COVID-19.
SINGAPURA: Seorang pengguna Facebook meminta maaf pada Rabu (20 Mei) kerana membuat dakwaan yang menuduh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo dan suaminya menerima rasuah daripada pembinaan kemudahan-kemudahan COVID-19.
Dalam catatan Facebooknya, Encik Donald Liew berkata beliau benar-benar mahu meminta maaf pada Cik Teo dan mengakui bahawa "dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas".
Merujuk kepada catatan Facebook yang ditulisnya pada 14 Mei, Encik Liew berkata bahawa beliau mendakwa "Cik Teo dan keluarganya telah meraih manfaat dari segi kewangan bagi dirinya dan juga keluarganya, disebabkan oleh salah pengurusan dormitori yang menyebabkan virus COVID-19 menular dan pembinaan kemudahan jagaan masyarakat (CCF) oleh Surbana Jurong".
Suami Cik Teo ialah Encik Teo Eng Cheong, yang merupakan Ketua Eksekutif (Antarabangsa) Surbana Jurong.
Pada Rabu, para peguam Cik Teo berkata bahawa menteri itu sudah mengarahkan mereka supaya mengeluarkan surat tuntutan kepada Encik Liew dan aktivis Jolovan Wham.
Dakwaan mengaut keuntungan dan rasuah adalah "tidak benar, yang berniat untuk merosakkan nama baik dan sama sekali tidak berasas", kata Cik Teo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guaman Allen & Gledhill.
"Mengenai projek-projek ini, Surbana Jurong berurusan secara langsung dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND). Suami saya mahupun saya sendiri tidak terlibat dalam mana-mana proses menawarkan projek itu atau urus niaga kewangan," katanya.
Surat peguam itu menuntut agar dakwaan tersebut ditarik balik secara terbuka dan Encik Liew dan Encik Wham masing-masing mendermakan S$1,000 kepada Tabung Bantuan Pekerja Asing.
Menurut kenyataan itu, menteri itu tidak akan "memanjangkan hal itu lagi, atau memfailkan saman" jika permintaan itu dipenuhi.
Encik Liew bagaimanapun belum memaklumkan sama ada beliau merancang untuk meghulurkan derma tersebut. Mediacorp sudah menghubungi Encik Wham mengenai sama ada beliau juga berhasrat untuk menarik balik dakwaannya dan melakukan perkara yang sama.
Surbana Jurong, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Temasek, sudah membina kemudahan di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo untuk menempatkan para pesakit COVID-19 yang mengalami simptom ringan atau tiada gejala sama sekali, atau pesakit yang sedang beransur pulih setelah dibenarkan keluar hospital.
Ia sudah mengeluarkan kenyataan yang menolak "tuduhan mengaut keuntungan yang tidak berasas dan menerima rasuah pada sebilangan catatan media sosialnya" dan menyatakan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) juga sudah menafikan dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai "tidak benar dan berniat jahat".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.