Dokumentari 'From CPU to CNA' singkap kepentingan program ehwal semasa dalam pembangunan SG
Sejak kemerdekaan Singapura hingga ke tahun-tahun 1980an, rancangan-rancangan ehwal semasa seperti 'Tinjauan', 'Feedback' dan dokumentari memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan masyarakat.
SINGAPURA: Sejak kemerdekaan Singapura hingga ke tahun-tahun 1980an, rancangan-rancangan ehwal semasa seperti 'Tinjauan', "Feedback' dan dokumentari memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan masyarakat.
Ini disertakan dengan cabaran-cabaran yang perlu ditangani para penerbit rancangan-rancangan itu bagi mengupas isu-isu sebuah negara baru.
Peranan penting dan cabaran-cabaran itu antara yang disingkap dalam sebuah dokumentari baru berjudul 'From CPU to CNA - Creating Singaporeans' Collective Consciousness'.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sepanjang 45 minit, penonton dibawa mengimbas kembali sejarah serta asal usul dunia penerbitan program-program ehwal semasa di Singapura yang bermula sebagai sebuah jabatan pemerintah dipanggil 'Unit Penerbitan Pusat (CPU)' hingga ke sebuah jenama bertaraf antarabangsa CNA atau sebelum ini dikenali sebagai Channel NewsAsia.
Di majlis tayangan dokumentari tersebut pada Jumaat (18 Ogos), penerbitnya, Cik Naleeza Ebrahim berkongsi bahawa dokumentari itu merakam evolusi kewartawanan penyiaran di negara ini.
"Bagaimana kita membina negara, membina semangat sebuah Singapura, sebuah negara, itulah tugas CPU pada awalnya. Bagaimana dari CPU yang mula-mula semuanya propaganda, dikira dan dikata seperti 'suara pemerintah' dan selepas itu kami seperti meluaskan batasan bagaimana bukan sahaja pemerintah yang beri mesej-mesejnya pada rakyat tapi rakyat pun memberi maklum balas kepada pemerintah," kata penerbit dokumentari, Cik Naleeza Ebrahim.
Dokumentari itu diterbitkan dengan Geran Projek Warisan yang diterima Cik Naleeza dari Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 2017.
5 TAHUN UNTUK DIHASILKAN
Beliau turut berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa projek tersebut mengambil hampir lima tahun untuk disiapkan disebabkan jumlah bahan-bahan arkib yang diperlukan di samping wawancara bersama tokoh-tokoh yang terlibat khususnya mereka yang pernah berkhidmat di Radio Televisyen Singapura (RTS) dan Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC).

Berbekalkan pengalamannya sendiri berkhidmat di CPU, Cik Naleeza berkata skrip asal yang ditulis sebenarnya sepanjang 2.5 jam.
Namun ia terpaksa disingkatkan kepada 45 minit sahaja untuk disesuaikan kepada waktu penyiaran.
"Cabarannya mendapatkan visual, gambar-gambar dari tahun 60an, 70an, 80an semuanya ada di Arkib Negara (NAS). Saya perlu mencari visual, gambar, video, berkenaan apa yang kami ceritakan. Apa topik-topik yang tetamu-tetamu saya kongsikan kepada saya. Jadi itu cabaran yang paling besar. Cabaran yang kedua adalah pada masa COVID-19." tambah Cik Naleeza yang mempunyai pengalaman lebih 33 tahun dalam dunia penyiaran.
BASIR SISWO 'TINJAU' PENGALAMANNYA
Antara 19 tokoh mapan dunia penerbitan ehwal semasa tempatan yang berkongsi pengalaman mereka dalam dokumentari tersebut termasuklah Encik David Gabriel, Encik Kenneth Liang, Encik Viswa Sadasivan dan Encik Basir Siswo.
Memulakan kerjayanya sebagai seorang penerbit di SBC pada 1980, Encik Basir Siswo telah banyak menghasilkan rancangan ehwal semasa untuk penonton Melayu pertama termasuk 'Tinjauan' dan 'Akhir Kata'.
"Dokumentari ini banyak membawa kenangan masa lalu yang sukar dilupakan. Tahun-tahun 80an dulu sebenarnya adalah satu masa yang paling mencabar. Ehwal semasa ini menyentuh satu wadah yang agak penting pada tahun 80an. Pergolakan politik yang agak luar biasa. Teknologi yang agak belum matang.
"Walaupun kita selalu dilabelkan ‘ini suara pemerintah’, ‘ini propaganda pemerintah’ tetapi kita mempunyai komitmen yang berbeza. Komitmen untuk membina satu masyarakat, menyelesaikan krisis yang dihadapi oleh masyarakat," kata Encik Basir.

Beliau berharap generasi muda dapat mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang dikongsikan dalam dokumentari tersebut.
"Saya rasa penting untuk berkongsi pengalaman dengan generasi muda wartawan yang ada sekarang ini untuk mengingatkan mereka perjuangan kita waktu 80an, 90an dulu. Harus diambil kira sebab waktu-waktu sukar begitu sebenarnya memberi kita satu pengalaman yang mematangkan kita sebagai seorang wartawan. Saya rasa generasi muda sekarang harus mengambil iktibar," kata Encik Basir.

Beliau juga merupakan Naib Presiden bahagian Program di Mediacorp sebelum meninggalkan dunia penyiaran Singapura pada 2006.
Encik Basir kemudian menyertai Rangkaian Berita Al Jazeera di Timur Tengah dan setelah itu ke Malaysia pula untuk menyertai syarikat media Astro Measat sebagai seorang konsultan.
Namun begitu, isu-isu masyarakat tempatan masih dekat di hatinya.
"Sewaktu di Qatar membuat liputan tentang pergolakan politik Timur Tengah, ia cuma satu tugas profesional tapi rasa minat itu, rasa semangat untuk menulis, untuk membuat laporan, tidak ada. Misi itu tidak ada. Itu beza. Setelah empat tahun, kita cuba, saya rasa kesedaran tentang pentingnya media dan penyiaran Singapura untuk memperjuangkan sesuatu isu, menyelesaikan isu-isu sosial dan masyarakat, membangunkan negara begitu penting," jelasnya yang kini merupakan Pengarah Urusan The Newsroom yang berpangkalan di Malaysia.
Dokumentari tersebut dijangka akan dilancarkan di wadah media sosial dan YouTube menjelang akhir tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.