Skip to main content

Singapura

Dokumentari CNA, rancangan hal ehwal semasa kini boleh ditonton dalam penerbangan SIA

Bakal melancong dengan Singapore Airlines? Kini anda boleh menonton beberapa dokumentari dan program hal ehwal semasa Mediacorp yang memenangi anugerah sepanjang penerbangan anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Dokumentari CNA, rancangan hal ehwal semasa kini boleh ditonton dalam penerbangan SIA

Pilihan kandungan yang luas daripada CNA kini boleh didapati dalam sistem hiburan penerbangan KrisWorld milik Singapore Airlines.(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 21 Feb 2025 03:13PM Dikemas Kini : 22 Feb 2025 06:50AM
SINGAPURA: Bakal melancong dengan Singapore Airlines? Kini anda boleh menonton beberapa dokumentari dan program hal ehwal semasa Mediacorp yang memenangi anugerah sepanjang penerbangan anda.

Pilihan kandungan yang luas daripada CNA kini boleh didapati dalam sistem hiburan penerbangan KrisWorld milik SIA, seperti yang diumumkan oleh Mediacorp pada Jumaat (21 Feb).

Program-program tersebut akan diletakkan di bawah kategori baharu, CNA, disamping kategori-kategori terkenal lain seperti Apple TV+ dan Max.

"Kerjasama antara CNA dan SIA ini membolehkan para pelancong mengakses dengan mudah program-program informatif yang memberikan pandangan mendalam, yang dapat membantu audiens global untuk lebih 'memahami Asia'," kata Mediacorp.

Antara program yang ditawarkan termasuk "Southeast Asia on a Plate" – yang membawa penonton untuk memahami bagaimana hidangan-hidangan kegemaran di rantau ini diterima di meja makan kita hari ini – dan "Remarkable Living", yang memaparkan individu-individu unggul dari segi kemewahan, keahlian, gastronomi, dan seni bina di seluruh dunia.

Black Thursday, satu rentetan yang belum pernah ditayangkan mengenai penutupan selama tiga hari Bursa Saham Singapura pada 1985, juga akan disiarkan menerusi KrisWorld.

Program-program di bawah kategori CNA akan dikemas kini secara berkala. Senarai penuh program-program CNA di KrisWorld boleh didapati di laman web SIA.

Kemunculan pertama CNA di KrisWorld berlangsung berikutan pengembangannya ke United Kingdom dan Amerika pada tahun lalu.

Sejak 2013, CNA sudah meraih lebih 580 anugerah antarabangsa, termasuk beberapa anugerah di Festival New York, Festival Media Dunia dan Anugerah TV Cannes.

Ia juga dinobatkan sebagai "Saluran Terbaik Tahun Ini" oleh Persatuan Penyiaran Antarabangsa yang berpusat di London pada 2020, dan "Laman Web Berita atau Perkhidmatan Mudah Alih Terbaik" oleh Persatuan Penerbit Berita Dunia pada 2022.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita