Skip to main content

Singapura

Doktor veteran bimbang sistem digital paksa mereka bersara

Selama tiga dekad, Dr Edmond Lie mengendalikan kliniknya di Clementi dengan cara yang sama, iaitu menggunakan pen, kertas, dan sistem kerja berdasarkan tulisan ringkas atau 'shorthand' yang sudah sebati dalam ingatannya.
Anggaran Waktu Membaca:
 Doktor veteran bimbang sistem digital paksa mereka bersara
Sistem rekod berasaskan kertas untuk fail pesakit. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)
Diterbitkan : 29 Jan 2026 07:13AM
SINGAPURA: Selama tiga dekad, Dr Edmond Lie mengendalikan kliniknya di Clementi dengan cara yang sama, iaitu menggunakan pen, kertas, dan sistem kerja berdasarkan tulisan ringkas atau 'shorthand' yang sudah sebati dalam ingatannya.

Namun, perkara itu bakal berubah. Singapura tidak lama lagi akan mewajibkan semua klinik untuk menyumbang data pesakit ke dalam Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR), sebagai sebahagian daripada usaha besar-besaran untuk mendigitalkan sektor jagaan kesihatan.

Walaupun doktor yang ditemu bual oleh Mediacorp mengakui kebaikan NEHR, seperti menyelaraskan penjagaan dan meningkatkan keselamatan pesakit, ada yang berkata kos untuk mematuhi peraturan ini, terutamanya bagi klinik kecil, sukar untuk ditanggung.

Dr Lie baru-baru ini membelanjakan S$10,000 untuk sistem IT baharu dan kini perlu membayar yuran langganan perisian kira-kira S$2,000 setahun.

Malah sebelum menyertai NEHR, doktor berusia 61 tahun itu sudah menghabiskan sehingga dua jam tambahan setiap hari selepas waktu klinik untuk memasukkan maklumat pesakit ke dalam komputer.

"Banyak tulisan 'shorthand' yang saya gunakan pada kertas, jadi ia sangat cepat," katanya.

"Ia adalah cara kerja yang saya gunakan berpuluh tahun, jadi ia sangat lancar bagi saya. Tetapi sekarang dengan pendigitalan, ia mengambil masa untuk menulis mengikut format yang betul."

Beliau menjangkakan beban kerja akan meningkat sebaik sahaja beliau menyertai NEHR.

Dr Lie menganggarkan jika beliau perlu mengambil kakitangan tambahan hanya untuk menguruskan penghantaran data NEHR, ia mungkin menelan kos sekitar S$24,000 setahun.

"Masalahnya, kakitangan saya juga tidak mahir komputer kerana mereka sudah bekerja dengan saya berpuluh tahun dan kami tidak pernah memerlukan sistem komputer, jadi tidak adil bagi mereka," katanya.

Jika beliau mengambil pekerja baharu, kos tersebut mungkin menyebabkan yuran perubatan pesakit meningkat.Kliniknya kini mengenakan yuran perundingan sekitar S$25, kadar yang hanya meningkat sedikit sepanjang 30 tahun.

Kebanyakan pesakitnya adalah warga emas dari kawasan perumahan awam berhampiran.

Temubual dengan doktor GP lain yang berusia antara 61 hingga 81 tahun mendedahkan kebimbangan serupa tentang beban kewangan, masa yang diperlukan untuk mahir sistem baharu, dan risiko denda jika gagal mematuhi peraturan.

Seorang GP berusia 69 tahun di East Coast berkata sistem digital akan melambatkan perundingan dan menjadikan kos operasi klinik lebih mahal.

Beliau kini mengenakan yuran antara S$18 hingga S$30.

KEBIMBANGAN TERHADAP DENDA BERAT

Selain kos, doktor bimbang tentang denda yang disifatkan sebagai "sangat berat", terutamanya bagi doktor lama yang kurang mahir IT.

Di bawah syarat baharu, penyedia penjagaan kesihatan mesti melindungi data pesakit dan melaporkan sebarang insiden keselamatan siber kepada Kementerian Kesihatan (MOH) dengan segera.

Kegagalan mematuhi peraturan boleh membawa denda maksimum S$20,000 dan penjara sehingga setahun. Akses tanpa kebenaran atau mendedahkan maklumat NEHR boleh didenda S$50,000 dan penjara dua tahun - malah denda digandakan bagi kesalahan berulang.

Kegagalan sistem keselamatan siber secara sistemik pula boleh didenda sehingga S$1 juta.MOH menyatakan mereka akan bekerjasama dengan klinik terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah seperti sistem yang tidak serasi. Tindakan undang-undang hanya diambil bagi kegagalan yang sengaja atau berterusan.

MOH juga akan menyediakan sumber latihan dan sokongan dana, walaupun jumlahnya masih dalam perbincangan.

PERTIMBANGKAN PERSARAAN

Daripada enam doktor yang ditemu bual, separuh daripadanya sedang memikirkan langkah seterusnya, termasuk bersara.

Seorang GP berusia lewat 70-an berkata beliau menyokong usaha pemerintah tetapi mengakui sukar untuk melatih kakitangan lama menggunakan komputer.

Seorang lagi GP berusia 69 tahun yang sudah beroperasi lebih 40 tahun berkata belajar sistem komputer pada tahap ini adalah "sangat sukar" dan beliau sedang mempertimbangkan untuk bersara.

"Saya berasa sedih kerana tidak mahu bersara... tetapi jika syarat ini bermula, kami terpaksa menjual klinik atau menyewakannya, kerana kami tidak boleh lagi bertugas," katanya.

Dr Lie pula berharap bantuan tambahan seperti subsidi, panduan yang lebih jelas, dan bantuan tenaga kerja dapat diberikan bagi memudahkan peralihan ini agar beban kewangan tidak jatuh kepada pesakit.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita