Doktor terkait kumpulan Healing the Divide kini dituduh bersubahat tipu MOH tentang data vaksinasi palsu
Seorang doktor yang mempunyai kaitan dengan kumpulan 'Healing the Divide', dikenakan tuduhan lebih serius pada Selasa (25 Jan) kerana bersubahat untuk memperdayakan Kementerian Kesihatan (MOH) dengan menyerahkan data vaksinasi yang palsu.
(Gambar: Facebook/Jipson Quah)
SINGAPURA: Seorang doktor yang mempunyai kaitan dengan kumpulan 'Healing the Divide', dikenakan tuduhan lebih serius pada Selasa (25 Jan) kerana bersubahat untuk memperdayakan Kementerian Kesihatan (MOH) dengan menyerahkan data vaksinasi yang palsu.
Jipson Quah, 33 tahun, sebelum ini dikenakan satu tuduhan bersubahat dengan pembantunya, Thomas Chua Cheng Soon serta seorang pesakit bernama Mehrajunnisha untuk menipu MOH.
Quah mendakwa bahawa Mehrajunnisha sudah diberi vaksin Sinopharm meskipun dia tahu ia adalah tidak benar. Disebabkan penipuan itu, MOH mengeluarkan sijil vaksinasi bagi Mehrajunnisha.
Hukuman bagi tuduhan itu ialah penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pada Selasa (25 Jan), tuduhan yang dikenakan ke atas Quah digantikan dengan kesalahan bersubahat dengan Chua dan Mehrajunnisha untuk membuat perwakilan palsu kepada MOH, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Quah dibicarakan di mahkamah menerusi sidang video dari tempat dia ditahan reman, dengan kedua-dua tangannya digari.
Dua pendakwa raya ditugaskan bagi kes itu. Timbalan Pendakwa Raya Samuel Yap pada asalnya memohon supaya Quah ditahan reman selama dua minggu lalu. Dia sudah ditahan reman sejak 21 Januari.
Apabila ditanya sebabnya, Encik Yap berkata siasatan masih dijalankan dan kesalahan yang dilakukan dalam kes ini "adalah serius".
"Ia pada hakikatnya mendakwa bahawa Quah, bersama dua lagi individu, bersubahat untuk menipu MOH dengan berbohong sudah memberi vaksin kepada pesakit-pesakit tertentu dan mengubah rekod (MOH)," katanya.
"Siasatan awal mencadangkan bahawa terdapat beberapa pesakit lain yang terbabit dan terdapat banyak rekod yang perlu diteliti dalam siasatan, justeru polis memerlukan Quah ditahan reman."
Hakim mengarahkan Quah ditahan reman selama seminggu lagi ekoran varian Omicron, perlunya untuk mengesahkan status vaksinasi dengan cepat dan keprihatinan kesihatan awam.
Quah akan kembali ke mahkamah pada 31 Januari.
Pengasas Healing the Divide, Iris Koh Shu Cii, didakwa atas kesalahan bersubahat untuk menipu pada Ahad (23 Jan) dan ditahan reman. Dia akan kembali ke mahkamah pada Jumaat (28 Jan).
Chua dikenakan tuduhan bersama dengan Quah pada Jumaat dan juga ditahan reman. Dia juga akan kembali ke mahkamah pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.