Skip to main content

Singapura

Doktor SG bangunkan terapi sel tunjang baru, selamatkan 16 pesakit barah kebal rawatan

Sekumpulan pakar di Singapura berjaya mencipta satu terapi sel tunjang baharu buat pesakit barah yang gagal menjalani pelbagai rawatan lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor SG bangunkan terapi sel tunjang baru, selamatkan 16 pesakit barah kebal rawatan

Pasukan CAR T Singapura di NUHS dan NUS yang terdiri daripada Dr Esther Chan (kiri), Dr Bernice Oh (tengah) dan Profesor Allen Yeoh di Universiti Nasional Singapura pada 30 Sep 2024. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Oct 2024 11:07AM
SINGAPURA: Sekumpulan pakar di Singapura berjaya mencipta satu terapi sel tunjang baharu buat pesakit barah yang gagal menjalani pelbagai rawatan lain.

Bagi pesakit leukemia limfoblastik akut, atau dikenali sebagai T-ALL, rawatan kemoterapi biasanya tidak berkesan ke atas mereka.

Peluang untuk para pesakit leukemia T-ALL terus hidup juga sangat tipis, tidak melebihi 10 peratus.

Namun, 16 pesakit yang menjalani terapi sel tunjang baharu sudah disahkan bebas barah dalam tempoh sebulan.

Terapi tersebut dibangunkan oleh para penyelidik dan klinisian dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS)

Rawatan terapi sel tunjang itu juga telah diterbitkan dalam jurnal perubatan Nature Medicine.

TERAPI SEL TUNJANG BAHARU

T-ALL membentuk sekitar 10 peratus kes barah ALL.

ALL merujuk kepada sejenis barah darah paling lazim dalam kalangan kanak-kanak.

Sekitar 80 peratus daripada pesakit pulih selepas menjalani rawatan kemoterapi secara intensif dan berpanjangan.

Malangnya, rawatan itu ada kalanya menyebabkan pesakit berasa lemah.

Bagi mereka yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan selepas menjalani kemoterapi, peluang untuk terus bertahan hidup lebih tipis.

Terapi sel tunjang yang baharu bertujuan membantu pesakit sedemikian.

Ia menggunakan sel-T CAR iaitu sejenis sel imun yang diubah secara genetik untuk menyerang sel-sel barah.

Sel-T CAR menyasarkan protein CD7 yang ditemui dalam sel-T barah.

Namun sel-sel T biasa, yang membentuk sebahagian daripada sistem imun manusia, juga mempunyai CD7.

Ini menyebabkan sel-sel T untuk menyerang satu sama lain.

Untuk mencegah ini daripada berlaku, para penyelidik memasukkan 'blocker' atau penyekat dalam sel-T CAR agar ia hanya menyerang sel T barah.

Ia menggunakan satu teknologi yang dibangunkan makmal Profesor Dario Campana di bawah Jabatan Pediatrik di Perubatan NUS.

HASILNYA

Antara April 2019 dengan Oktober 2023, rawatan terapi itu dijalankan ke atas 17 pesakit berusia antara dua dengan 72 tahun.

Daripada 17 pesakit itu, 12 menjalani rawatan di NUH manakala lagi lima dirawat di Hospital Ospedale Pediatrico Bambino Gesu di Rom.

Semua pesakit menghidap barah T-ALL. Mereka telah menjalani rawatan intensif dan berpanjangan tetapi tidak mencatat sebarang kemajuan.

Ada dalam kalangan mereka misalnya menjalani kemoterapi tetapi masih mengalami barah. Ada juga mengalami barah berulang selepas menjalani rawatan.

Sekalipun demikian, rawatan yang diperkenalkan sekumpulan doktor Singapura mencatat keputusan yang sangat berbeza.

Dalam kalangan 17 pesakit yang menjalani terapi berkenaan, 16 pesakit disahkan bebas barah dalam tempoh sebulan.

Sel-sel leukemia juga tidak dapat dikesan meskipun menerusi ujian yang dapat mengesan satu sel leukemia dalam kalangan 10,000 sel biasa.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita