Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor perubatan dituduh sebabkan kematian pesakit dikenakan tuduhan baru

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang doktor perubatan berusia 34 tahun, yang dituduh menyebabkan kematian seorang pesakit angkara kecuaian ketika menjalankan prosedur estetik, dikenakan tiga lagi tuduhan baru di mahkamah pada Selasa (6 Dis).

Ia berkaitan produk-produk terapeutik yang sudah tamat tarikh luput dan tidak berdaftar yang dipercayai diberikannya kepada pesakit itu.

Chan Bingyi, warga Singapura, dituduh melanggar Akta Produk Kesihatan sebanyak tiga kali pada Mac 2019 di Revival Medical & Aesthetics Centre, yang terletak di pusat beli-belah Esplanade Xchange.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa dua kes pertama dipercayai berlaku pada 18 Mac.

Pihak pendakwaan mendakwa Chan membekalkan "produk kesihatan yang memudaratkan" dengan memiliki 21 ampul ubat adrenalin yang sudah tamat tarikh luputnya pada 30 Januari tahun berkenaan. Dia juga didakwa membekalkan produk kesihatan tidak berdaftar dengan memilki tiga botol krim kulit anestetik, J-Cain lidocaine.

Bagi dakwaan ketiga, Chan dituduh membekalkan produk kesihatan yang memudaratkan dengan memiliki ampul Shintamet pada 25 Mac, yang sudah tamat tarikh luputnya pada Oktober 2018.

Shintamet, yang mengandungi ubat cimetidine, antara lain digunakan dalam rawatan ulser gastrik dan pedih hulu hati, menurut perundingan kesihatan Singapura, Mims.

Secara keseluruhan, Chan berdepan dengan empat tuduhan.

Dia kali pertama dikenakan tuduhan pada 11 Oktober tahun ini setelah didakwa bertindak cuai ketika menjalankan satu prosedur estetik yang membawa kepada kematian seorang pesakit wanita.

Chan, yang diwakili Encik Adrian Wee dari Characterist LLC, akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 11 Januari tahun depan. Dia bebas dengan ikat jamin S$5,000.


Hukuman bagi sesiapa yang didapati bersalah membekalkan sama ada produk kesihatan tidak berdaftar atau yang sudah tamat tarikh luput adalah denda sehingga S$50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang didapati bersalah mengakibatkan kematian seseorang melalui tindakan cuai yang tidak membawa kepada pembunuhan tanpa niat boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan